ANGGOTA keselamatan  yang terbabit Op Carilamat tekong bot yang karam di Pulau Kapas. FOTO Ihsan APMM.
ANGGOTA keselamatan yang terbabit Op Carilamat tekong bot yang karam di Pulau Kapas. FOTO Ihsan APMM.
Zaid Salim


Kuala Terengganu: Hari ketiga misi mencari dan menyelamat tekong bot yang karam di perairan Pulau Kapas di sini, masih tidak menemui sebarang petunjuk.

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia Muhammad Suffi Mohd Ramli berkata, ribut petir di kawasan pencarian juga menyukarkan Op Carilamat itu, dengan kelajuan angin 20 hingga 30 km/j serta ombak setinggi 1.5 meter.

"Sehingga kini jumlah keseluruhan sektor pencarian sejauh 399.56 batu nautika persegi melibatkan sektor udara dan laut sehingga ke sempadan perairan Cherating, Kuantan, Pahang," katanya hari ini.

Beliau barkata, operasi turut disertai Tentera Udara DiRaja Malaysia dan nelayan tempatan.

Katanya, operasi ditangguhkan pada 7 petang tadi dan akan disambung semula 7 pagi esok dengan bantuan alat Navigation Telex (Navtex) Jabatan Perikanan dan tambahan 11 bot persatuan nelayan..

Tekong, Wan Mustapha Ayob, 62, dari Kuantan, Pahang hilang sejak Rabu lalu selepas bot dinaiki bersama dua awak-awak karam di lapan batu nautika dari perairan Pulau Kapas.

Bagaimanapun, dua awak-awak berusia 40 dan 60 tahun ditemui selamat oleh nelayan tempatan di perairan Kemaman.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 April 2022 @ 10:06 PM