Nurul Fatihah Sulaini


Jertih: Seorang nelayan masih hilang sementara empat lagi dijumpai selamat lengkap memakai jaket keselamatan di Pantai Coral View, Pulau Perhentian Besar, Besut kira-kira jam 8.45 pagi ini.

Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Abdul Rozak Muhammad berkata, mangsa dijumpai penduduk kampung dan dibawa ke Klinik Kesihatan Pulau Perhentian untuk mendapatkan rawatan lanjut.

Sebelum ini, lima nelayan tempatan dikhuatiri lemas apabila bot mereka karam dan tenggelam berhampiran perairan Pulau Perhentian, Besut, semalam.

"Mangsa yang ditemui selamat ialah tekong bot, Tuan Azaha Tengku Long, 47, awak-awak Mohd Azri Mohd Rosdi, 28, Tuan Azrizal Tuan Azhar, 19, dan seorang lagi dikenali sebagai Ujang, 40.

"Semua mangsa dilaporkan stabil namun tidak dapat bercakap buat sementara waktu," katanya ketika dihubungi hari ini.

Abdul Rozak berkata, operasi mencari menyelamat seorang lagi awak-awak dikenali sebagai Saari Saleh, 40-an, masih diteruskan.

"Radius pencarian dilakukan sekitar lima batu nautika dari kawasan kejadian.

"Operasi mencari dan menyelamat disertai dua pegawai kanan, 25 anggota Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), 11 anggota polis terdiri daripada Pasukan Polis Marin Wilayah Timur serta Balai Polis Pulau Perhentian," katanya.

Berita berkaitan

Bot karam, lima nelayan tempatan hilang

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 January 2021 @ 11:55 AM