SEBAHAGIAN pengawal keselamatan warga Filipina yang dihadapkan ke Mahkamah Majistret, hari ini. FOTO Bernama.
SEBAHAGIAN pengawal keselamatan warga Filipina yang dihadapkan ke Mahkamah Majistret, hari ini. FOTO Bernama.
BERNAMA

Shah Alam: Gara-gara menggunakan kad pengenalan palsu dan milik orang lain, lapan pengawal keselamatan warga Filipina masing-masing dijatuhi hukuman penjara antara empat hingga 12 bulan oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini.

Kesemua tertuduh Adzhar Tadjamon, 30; Alim Aunal, 22; Jasim Alano, 27; Asmie Rody, 36; Halid Janul Sallani, 34; Abu Bakar Mausil, 48; Imboy L Insung, 26, dan Abdul Munir Asnan, 30, masing-masing mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan terhadap mereka di tiga Mahkamah Majistret berasingan.

Majistret Sabreena Bakar@Bahari memerintahkan Adzhar, Alim dan Jasim masing-masing dipenjara empat bulan manakala Majistret Mohamad Redza Azhar Rezali menjatuhkan hukuman penjara sembilan bulan masing-masing terhadap Asmie, Halid dan Abu Bakar.

Majistret Muhammad Syafiq Sulaiman pula memerintahkan Imboy dan Abdul Munir masing-masing dipenjara 12 bulan.

Kesemua tertuduh diperintahkan menjalani hukuman itu bermula dari tarikh tangkap iaitu semalam.

Mengikut pertuduhan, kesemua tertuduh masing-masing didakwa telah menggunakan kad pengenalan palsu dan kad pengenalan milik orang lain di pos pengawal di sekitar Shah Alam antara 11 dan 11.50 pagi, semalam.

Bagi kedua-dua kesalahan tersebut, mereka didakwa mengikut Peraturan 25(1)(e) Peraturan-peraturan Pendaftaran Negara 1990 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tiga tahun atau denda sehingga RM20,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Jabatan Pendaftaran Negara Zulkarnain Ahmad da Zulkifli Idris manakala kesemua tertuduh tidak diwakili peguam.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 April 2022 @ 8:35 PM