DUA wanita warga asing dipenjara dua tahun selepas memberi maklumat palsu permohonan mengganti MyKad yang hilang. FOTO Juwan Riduan
DUA wanita warga asing dipenjara dua tahun selepas memberi maklumat palsu permohonan mengganti MyKad yang hilang. FOTO Juwan Riduan
Juwan Riduan


Kota Kinabalu: Dua wanita warga asing masing-masing dijatuhkan hukuman penjara dua tahun di Mahkamah Majistret, di sini, hari ini, selepas mengaku bersalah memberikan maklumat palsu ketika membuat permohonan mengganti MyKad yang hilang.

Murada Rabung, 32, pemegang dokumen IMM13 membuat pengakuan bersalah di hadapan Majistret Lovely Natasha Charles manakala Nor Hasna Paisal, 19, turut membuat pengakuan sama di hadapan Majistret Jessica Ombou Kakayun.

Murada disyaki memberikan maklumat palsu ketika membuat permohonan gantian hilang MyKad atas nama Nazira Eranza di Bahagian Kad Pengenalan, Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Kota Kinabalu Khamis lalu.

Manakala Nor Hasna yang tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri disyaki memberi maklumat palsu ketika membuat permohonan gantian hilang Kad Pengenalan atas nama Erah Eranza di Bahagian Kad Pengenalan, JPN Kota Kinabalu, Jumaat lalu.

Kedua-duanya didakwa mengikut perkara 25 (1)(b) Peraturan-Peraturan Pendaftaran 1990.

Mahkamah menjatuhkan hukuman dua tahun penjara dari tarikh kedua-dua tertuduh ditangkap dan dirujuk ke Jabatan Imigresen selepas selesai menjalani hukuman penjara.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Mohd Naser Mohd Nadzeri manakala kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 Julai 2022 @ 6:33 PM