Pemangku Raja Pahang rasmi tujuh masjid sepanjang Ramadan ini. FOTO FIKRAH PAHANG
Pemangku Raja Pahang rasmi tujuh masjid sepanjang Ramadan ini. FOTO FIKRAH PAHANG
Wartawan HM


Temerloh: Ramadan ini membawa rahmat besar kepada umat Islam di negeri ini apabila Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan mencemar duli merasmikan tujuh masjid baharu di enam daerah di Pahang.

Memetik laporan Fikrah Pahang, hari ini, masjid terbabit ialah Masjid As-Syakirin Kampung Rantau Panjang, Lanchang; Masjid Baharu Batu 3 1⁄2 Kuantan dan Masjid Kampung Batu Sawar.

Masjid lain ialah Masjid Baharu Kampung Mengkarak, Bera; Masjid Baharu Bandar Karak, Bentong; Masjid Kampung Sarang Tiong, Rompin dan Masjid Kampung Tanjung Gahai, Lipis.

Majlis perasmian setiap masjid turut disertai program berbuka puasa bersama rakyat dan penyampaian bantuan kepada golongan memerlukan.

Pada siri perasmian yang bermula di Masjid As-Syakirin Kampung Rantau Panjang, Lanchang, di sini, semalam, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah menzahirkan perasaan bangga kerana dapat mencemar duli menghadiri program berbuka puasa rasmi pertama baginda sejak dimasyhurkan sebagai Pemangku Raja Pahang dan Tengku Mahkota pada 2019.

Baginda turut mengingatkan ahli kariah dan jawatan kuasa pengurusan masjid supaya menjaga kemudahan dan meningkatkan tahap kebersihan di rumah Allah SWT itu.

"Saya tidak mahu melihat luaran bahagian masjid sahaja yang indah, tetapi tandasnya kotor, karpet (permaidani) berhabuk dan silingnya bersawang," titahnya.

Pada majlis serupa, baginda sempat mengurniakan sumbangan dan bantuan kepada 100 asnaf selain menyampaikan 10 komputer riba sumbangan anak syarikat Tabung Haji (TH) kepada pelajar golongan asnaf.

Hadir sama, Menteri Besar Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail; Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam dan Pendidikan Pahang, Datuk Seri Syed Ibrahim Syed Ahmad dan Setiausaha Kerajaan Pahang, Datuk Seri Dr Sallahudin Ishak.

Bertitah lanjut, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah mahu seluruh jawatan kuasa dan pegawai masjid yang dilantik memartabatkan institusi masjid selaras dengan prinsip alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG).

"Prinsip ini bukanlah baharu, sebaliknya ESG adalah prinsip yang selari dengan ajaran Islam. Sebagai khalifah dikurniakan akal, kita dipertanggungjawabkan untuk mentadbir alam dengan baik.

"Islam menggalakkan kita untuk menatap alam dan bertadabbur akan keagunganNya, seterusnya memberikan penghargaan paling mulia kepada ciptaan Allah SWT," titah baginda.

Dengan kos pembinaan sebanyak RM1.5 juta, Masjid As-Syakirin yang siap sepenuhnya pada 31 Mac 2016, mampu memuatkan seramai 350 jemaah pada satu-satu masa.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 April 2022 @ 5:17 PM