Ahmad Hasbi


Seremban: Seorang wanita didakwa di Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini, atas pertuduhan memperdagangkan seorang individu bagi maksud eksploitasi untuk meminta sedekah di tempat awam, tahun lalu.

Tertuduh, Nurul Hidayah Md Nor, 30, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Datin Surita Budin.

Mengikut pertuduhan, Nurul Hidayah yang bekerja sebagai pemandu teksi didakwa memperdagangkan seorang lelaki berusia 27 tahun bagi maksud eksploitasi yang menyalahi undang-undang iaitu Seksyen 27(c) Akta Kesalahan Kecil 1955 (Akta 336).

Tertuduh menyuruh lelaki itu meminta sedekah di tempat awam sedangkan dia mampu mencari mata pencarian lain.

NURUL Hidayah dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Seremban atas pertuduhan memperdagangkan lelaki OKU berusia 27 tahun untuk meminta sedekah. FOTO Azrul Edham Mohd Aminuddin
NURUL Hidayah dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Seremban atas pertuduhan memperdagangkan lelaki OKU berusia 27 tahun untuk meminta sedekah. FOTO Azrul Edham Mohd Aminuddin

Kesalahan itu dilakukan di sekitar Seremban dan Senawang antara Mei 2021 hingga 7 November 2021.

Sehubungan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 12 Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 (Akta 670).

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum penjara tidak melebihi 20 tahun dan boleh didenda atau kedua-duanya sekali.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nor Azizah Aling.

Terdahulu, peguam M Haresh yang mewakili tertuduh memohon jaminan minimum antara RM5,000 hingga RM8,000 dikenakan ke atas anak guamnya yang bekerja sebagai pemandu teksi.

"Tertuduh masih bujang dan kini menjaga ayahnya yang sedang sakit, dia mempunyai pendapatan antara RM1,500 hingga RM2,000 sebulan dan tinggal di Panchor.

"Sepanjang siasatan tertuduh memberi kerjasama yang baik kepada polis dan direman 11 hari," katanya.

Mahkamah kemudiannya membenarkan tertuduh diikat jamin RM15,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan tidak boleh mengganggu mangsa dan perlu melapor diri setiap bulan di balai polis berhampiran.

Kes akan disebut semula 24 Mei depan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 April 2022 @ 12:22 PM