Ahmad Johari Mohd Ali

Kuala Lumpur: Pihak pengurusan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang menjemput ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau lebih dikenali dengan nama Jho Low hadir pada Mesyuarat Khas Ahli Lembaga Pengarah (BOD) yang diadakan di sebuah hotel pada 26 September 2009.

Pengarah Bukan Eksekutif 1MDB, Tan Sri Ismee Ismail dalam keterangannya di Mahkamah Tinggi di sini, hari ini berkata, Jho Low yang tidak memegang sebarang jawatan dalam syarikat pelaburan strategik negara itu, mungkin dijemput oleh bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi dan bekas Pengarah Eksekutif Casey Tang Keng Chee.

Menjawab soalan peguam Tan Sri Muhammad Shafee pada sesi pemeriksaan balas, saksi pendakwaan ke-13 itu berkata, kehadiran Jho Low tidak dipertikaikan oleh Ahli Lembaga Pengarah (BOD) 1MDB.

Menurut Ismee, tiada seorang BOD mempersoalkan bagaimana Jho Low boleh menerima jemputan mesyuarat sulit itu yang sepatutnya hanya dihadiri oleh pengurusan tertinggi syarikat.

Selain Ismee dan Tang, turut hadir pada mesyuarat itu ialah Pengerusi (ketika itu) Tan Sri Mohd Bakke Salleh, Pengarah 1MDB Tan Sri Che Lodin Wok Kamaruddin dan Tan Sri Azlan Mohd Zainol.

Ismee yang merujuk kepada minit mesyuarat berkenaan berkata, tiada soalan ditimbulkan atau direkodkan berhubung persoalan bagaimana Jho Low boleh dijemput dan tujuan kehadirannya dalam mesyuarat itu.

Menurut saksi, beliau masih ingat bahawa sebelum mesyuarat bermula, BOD ada bercakap mengenainya dan berdasarkan perspektif beliau (Ismee), Jho Low dijemput untuk menjelaskan mengenai cadangan usaha sama 1MDB dengan PetroSaudi International Ltd (PSI)

Ismee berkata, sepanjang pengetahuannya Jho Low hanya mendiamkan diri dan beredar tanpa menunggu sehingga mesyuarat selesai.

GAMBAR hiasan.
GAMBAR hiasan.

Ismee memberikan keterangan terhadap Datuk Seri Najib Razak, 68, yang menghadapi empat pertuduhan menggunakan kedudukannya mendapatkan suapan berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah sama.

Pada perbicaraan kes meminda Laporan Pengauditan akhir 1MDB, Mohd Bakke dalam keterangannya berkata, BOD 1MDB diminta oleh Najib untuk tidak menghabiskan masa dengan meneliti transaksi lepas syarikat, sebaliknya menumpukan kepada cadangan usaha sama dengan PSI.

Mohd Bakke berkata, perkara itu disampaikan Najib melalui panggilan telefon selepas beliau (Najib) selesai bercakap dengan Jho Low ketika Mesyuarat Lembaga Pengarah 1MDB pada September 2009.

Saksi itu merujuk kepada mesyuarat BOD yang dihadirinya yang turut disertai Jho Low di mana ahli perniagaan itu mendakwa menerima panggilan telefon daripada Najib.

Sementara itu, Ismee berkata, berdasarkan kepada minit mesyuarat, senarai kehadiran ditandatangani oleh semua BOD tetapi tandatangan Jho Low tiada dalam senarai itu.

Sementara itu, Muhammad Shafee mencadangkan bahawa Jho Low sepatutnya menurunkan tanda tangan ringkasnya dalam senarai kerana dia hadir pada mesyuarat berkenaan.

Peguam itu kemudiannya merujuk kepada satu lagi versi minit mesyuarat yang menyatakan nama Jho Low dipadamkan daripada senarai kehadiran.

Bagaimanapun, Ismee berkata, beliau tidak mengetahui jika terdapat pihak yang diberi kuasa memadamkan nama ahli perniagaan itu.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah bersambung esok.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 April 2022 @ 5:03 PM