Saksi, Pengarah Bukan Eksekutif 1MDB, Tan Sri Ismee Ismail, tiba di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur untuk perbicaraan kes rasuah melibatkan 1MDB. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali
Saksi, Pengarah Bukan Eksekutif 1MDB, Tan Sri Ismee Ismail, tiba di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur untuk perbicaraan kes rasuah melibatkan 1MDB. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali
Ahmad Johari Mohd Ali


Kuala Lumpur: Bekas Pengarah Bukan Eksekutif 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Tan Sri Ismee Ismail, menyifatkan Datuk Seri Najib mempunyai hubungan yang rapat dengan ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau lebih dikenali dengan nama Jho Low.

Ismee berkata demikian ketika menjawab soalan Timbalan Pendakwa Raya Datuk Seri Gopal Sri Ram, mengenai apa yang dapat saksi itu rumuskan melalui hubungan kedua-dua individu itu melalui pemerhatian ketika beliau (Ismee) berada dalam Lembaga Pengarah 1Malaysia Development Berhad (1MDB) antara 2009 dan 2016.

"Saya percaya ia adalah hubungan yang rapat," katanya.

Ditanya sama ada beliau mengetahui secara peribadi mengenai butiran bagaimana kedua-dua individu itu berkongsi dana 1MDB, Ismee yang juga saksi pendakwaan ke-13 berkata, beliau tiada pengetahuan mengenainya.

Sementara itu, Ismee dirujuk dengan Minit Mesyuarat 1MDB bertarikh 26 September 2009 di mana Lembaga Pengarah memberikan beberapa ketetapan terhadap usaha sama di antara 1MDB dan PetroSaudi International Ltd (PSI), yang tidak dipatuhi oleh pihak pengurusan.

Perkara itu dibangkitkan lagi pada mesyuarat pada 3 Oktober, yang mana Pengerusi Tan Sri Mohd Bakke Salleh meletak jawatan tidak lama kemudian iaitu pada 19 Oktober 2009.

Ditanya Sri Ram sama ada beliau membangkitkan secara peribadi mengenai ketidakpatuhan pihak pengurusan dalam mesyuarat itu kepada Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) 1MDB ketika itu, Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi, Ismee berkata, Ahli Lembaga Pengarah membangkitkan perkara berkenaan secara kolektif.

Bagaimanapun, katanya pengerusi (Mohd Bakke) adalah paling lantang.

Berhubung budaya kerja ketika dalam Lembaga Pengarah, Sri Ram bertanyakan adakah saksi itu berada dalam kedudukan untuk bercanggah dengan Najib berhubung bagaimana 1MDB sepatutnya diuruskan, Ismee menjawab, "Saya boleh, tetapi tidak lakukannya."

Bagaimanapun Ismee berkata, beliau tidak dapat mengingati apakah sikap Lembaga Pengarah selepas Mohd Bakke meletak jawatan.

Ismee berkata, pada awal pelantikannya pada 2009, beliau mempunyai tahap kepercayaan yang tinggi terhadap Najib berhubung projek usaha sama dengan Arab Saudi.

Menurut Ismee, dengan pembabitannya dalam TH, beliau merasakan projek berkenaan akan memberikan faedah kepada syarikat.

"Dalam kapasiti saya, ketika itu saya percaya ini adalah inisiatif yang baik untuk terus menjalin hubungan dengan Saudi.

"Oleh itu, saya mempunyai kepercayaan yang tinggi terhadap kepimpinan… dengan kepimpinan yang saya maksudkan ialah perdana menteri Najib ketika itu," katanya.

Ismee memberikan keterangan terhadap Najib yang menghadapi empat pertuduhan menggunakan kedudukannya mendapatkan suapan berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah sama.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 April 2022 @ 2:54 PM