GOPINATH mengaku bersalah atas pertuduhan memperdayakan pekerja kedai telefon bimbit hingga mangsa menyerahkan dua peranti dianggarkan bernilai lebih RM7,500. FOTO Ahmad Hasbi
GOPINATH mengaku bersalah atas pertuduhan memperdayakan pekerja kedai telefon bimbit hingga mangsa menyerahkan dua peranti dianggarkan bernilai lebih RM7,500. FOTO Ahmad Hasbi
Ahmad Hasbi


Seremban: Mekanik dihadapkan ke Mahkamah Majistret Seremban, hari ini, atas pertuduhan memperdayakan pekerja kedai telefon bimbit hingga mangsa menyerahkan dua peranti dianggarkan bernilai lebih RM7,500, akhir bulan lalu.

Tertuduh, P Gopinath, 30, mengaku bersalah atas pertuduhan pilihan di hadapan Majistret Nurul Saqinah Rosli selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa memperdaya lelaki berusia 20 tahun dengan sengaja mendorong mangsa menyerahkan dua telefon bimbit jenis Samsung Z Flip 4.

Sekiranya mangsa mengetahui mengenai pembayaran itu, mangsa tidak akan menyerahkan telefon berkenaan.

Kesalahan dilakukan kira-kira jam 8 malam di sebuah kedai telefon bimbit di Terminal 1, Bandar Seremban, di sini, 27 Mei lalu.

Dengan itu tertuduh telah melakukan kesalahan yang boleh dihukum mengikut Seksyen 417 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya.

Peguam, Chrysandy Lai dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) memohon mahkamah memberikan hukuman berbentuk denda paling minimum dengan mengambil kira pendapatan tertuduh sebagai mekanik sekitar RM1,000 selain masih menanggung tiga anak masih kecil.

Mahkamah kemudiannya menjatuhkan hukuman denda RM3,000 dan jika gagal bayar boleh dipenjara selama lima bulan.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nik Nur 'Aqilah Syarfa Nik Zaidi.

Mengikut fakta kes, tertuduh ke kedai berkenaan sebelum bersetuju membeli dua telefon bimbit berkenaan berharga RM7,500 dan meminta nombor akaun bagi membuat pembayaran.

Tertuduh kemudiannya menunjukkan resit pembayaran dan pekerja menyerahkan dua peranti itu namun mangsa mendapat panggilan daripada majikan mendakwa wang belum dimasukkan ke akaun syarikat.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 6 Jun 2023 @ 12:38 PM