Dr Radzi berucap di majlis perasmian Pelancaran Gerakan Massa Terima Kasih Cikgu Sempena Sambutan Hari Guru Peringkat Kebangsaan ke-51 Tahun 2022 di Kuala Nerus malam tadi. Foto Ghazali Kori
Dr Radzi berucap di majlis perasmian Pelancaran Gerakan Massa Terima Kasih Cikgu Sempena Sambutan Hari Guru Peringkat Kebangsaan ke-51 Tahun 2022 di Kuala Nerus malam tadi. Foto Ghazali Kori
ZatulIffah Zolkiply

Kuala Nerus: Guru dan pendidik perlu terus mempertahankan profesion perguruan kerana bidang itu sangat dihormati dan dipandang tinggi oleh masyarakat.

Menteri Kanan Pendidikan Datuk Dr Radzi Jidin berkata, golongan berkenaan perlu mengekalkan etika, integriti dan profesionalisme mereka dalam mendidik anak bangsa.

"Ini (guru dan pendidik) merupakan satu kumpulan yang banyak menyumbang kepada masyarakat sebab itu saya tekankan bahawa amat penting supaya guru-guru terus mempertahankan penghormatan yang diberikan oleh masyarakat kepada profesion ini.

"Mereka perlu memastikan segala tindak-tanduk, tingkah laku dan pendekatan yang diambil itu adalah satu pendekatan yang penuh beretika berdasarkan etika perguruan dan terus mempertahankan integriti perguruan itu sendiri," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas majlis pelancaran Gerakan Massa Terima Kasih Cikgu Sempena Sambutan Hari Guru Peringkat Kebangsaan Ke-51 Tahun 2022 di sini, malam tadi.

Pada majlis sama, Dr Radzi turut mengumumkan tema sambutan Hari Guru pada tahun ini adalah 'Guru Tunjang Sekolah Sejahtera'.

Dr Radzi berkata, gerakan yang mula diperkenalkan pada 2018 itu adalah sebahagian pendekatan untuk membawa masyarakat bersama-sama menginsafi segala pengorbanan, jasa dan ilmu yang dicurahkan oleh guru kepada anak didik mereka.

Menurutnya, gerakan itu juga seharusnya melahirkan rasa penjiwaan kepada kepentingan untuk meneroka ilmu-ilmu baharu yang bermanfaat demi untuk melahirkan generasi yang jauh lebih hebat daripada apa yang ada pada hari ini.

"Guru-guru ini menyemai bakti, menabur budi dan akhirnya melahirkan satu generasi demi satu generasi yang mana setiap generasi itu adalah generasi yang akan mengemudi negara ke arah lebih baik," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 31 Mac 2022 @ 12:02 AM