Kuala Terengganu: Biarpun pelbagai bidang dan cabang kerjaya profesional terhidang luas, namun kerjaya sebagai guru masih menjadi pilihan kebanyakan lepasan sekolah berikutan ia dianggap sebagai kerjaya mulia dan perlu diteruskan untuk generasi akan datang.

Mohd Luqman Zaba, 19, dari Kampung Kok Lanas, Kota Bharu, Kelantan berkata, dia bercita-cita untuk menjadi seorang guru sejak kecil dan ingin melangkah jauh dalam bidang perguruan.

“Hobi saya ialah berkongsi maklumat terutama berkenaan ilmu yang baru dipelajari, justeru bidang paling sesuai dan selaras dengan minat ini adalah bidang perguruan.

“Bidang perguruan sangat mulia kerana ia mendidik kita untuk sentiasa berkongsi ilmu, malah Islam juga menyarankan berkongsi ilmu dan ia akan mendatangkan keberkatan kepada ilmu berkenaan,” katanya ketika ditemui di Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM) Kampus Datuk Razali Ismail, Batu Rakit, Kuala Terengganu, semalam.

Menurutnya, dia teruja mengikuti Program Persediaan Ijazah Sarjana Muda Perguruan (PPISMP) dan yakin akan menghabiskan program itu dengan cemerlang.

“Selepas mengikuti program persediaan ini sejak Jun 2014 saya berasa sangat seronok serta memperolehi pelbagai garis panduan untuk menjadi guru yang cemerlang dan pemilihan bidang perguruan ini pilihan paling tepat,” katanya yang mengikuti PPISMP Pendidikan Agama Islam.

Nurul Huda Azmi, 19, dari Kertih, Kemaman berkata, dia dikelilingi lapan ahli keluarga yang bergelar guru menyebabkannya terdorong untuk mengikuti PPISMP itu.

“Tiga adik-beradik selain tiga ipar dan kedua ibu bapa bergelar guru menyebabkan saya ingin mengikut jejak langkah mereka.

“Saya melihat jati diri dan disiplin tinggi di dalam diri ahli keluarga yang memilih guru sebagai kerjaya menyebabkan saya teruja untuk mengikuti mereka,” katanya yang juga mengikuti PPISMP Pendidikan Agama Islam.

Katanya, dia bersedia untuk menjadi seorang pendidik biarpun terpaksa menempuhi pelbagai cabaran apabila berhadapan dengan situasi sebenar sebagai guru di sekolah.

“Keruntuhan akhlak remaja bermula dari usia muda menyebabkan saya berasa bertanggungjawab untuk menjadi seorang pendidik bagi memperbetulkan masalah itu.

“Walaupun perjalanan masih jauh sebelum bergelar seorang guru, namun pendidikan dan pendedahan yang diberikan IPGM sepanjang mengikuti kursus ini membuatkan saya berasa bersemangat untuk memulakan karier sebagai guru,” katanya.

Tan Hon Kian, 21, dari Bukit Tunggal, Kuala Terengganu berkata, dia meminati bahasa Inggeris dan ingin mendalami ilmu bahasa kedua negara itu sebelum menyampaikan ilmu kepada murid dan pelajar.

“Bidang perguruan memberi peluang kepada saya untuk mendekati masyarakat dan berkhidmat kepada mereka terutama mendidik anak-anak mereka supaya cemerlang di dalam pelajaran.

“Terlalu banyak manfaat yang diperolehi apabila menjadi seorang guru dan paling penting dapat memberi sumbangan terus kepada masyarakat,” katanya yang mengikuti ijazah Sarjana Muda Bidang Pengajaran Bahasa Inggeris Sebagai Bahasa Kedua (TESL).

Menurutnya, dia mahu membantu pelajar menguasai bahasa Inggeris terutama di luar bandar dan yakin kerjayanya ini dapat memberi banyak kebaikan kepada masyarakat.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 Mei 2015 @ 10:30 AM