GURU ibarat penyuluh dalam kehidupan pelajar, kenanglah jasa mereka sewajarnya. - Gambar hiasan
GURU ibarat penyuluh dalam kehidupan pelajar, kenanglah jasa mereka sewajarnya. - Gambar hiasan
PERKEMBANGAN teknologi maklumat perkara baru yang perlu dipelajari guru veteran menerusi P&P.
PERKEMBANGAN teknologi maklumat perkara baru yang perlu dipelajari guru veteran menerusi P&P.
BAGI yang bakal memasuki kerjaya perguruan, banyak cabaran dan perkara perlu dipelajari untuk menjadi guru cemerlang. - Gambar hiasan
BAGI yang bakal memasuki kerjaya perguruan, banyak cabaran dan perkara perlu dipelajari untuk menjadi guru cemerlang. - Gambar hiasan
MOHD Kosnan menunjuk ajar seorang pelajarnya sewaktu sesi pembelajaran.
MOHD Kosnan menunjuk ajar seorang pelajarnya sewaktu sesi pembelajaran.
WALAUPUN diasak dengan pelbagai isu dan konflik, hasrat terpenting seorang guru ialah melihat kejayaan pelajarnya. - Gambar hiasan
WALAUPUN diasak dengan pelbagai isu dan konflik, hasrat terpenting seorang guru ialah melihat kejayaan pelajarnya. - Gambar hiasan
Ruhaiza Rusmin dan Ihsan Norzali dan Rosman Shamsudin


Setiap orang pasti ada kisah tersendiri dengan insan bergelar cikgu. Ada menganggap mereka sebagai pengganti ibu bapa di sekolah tetapi ada yang hanya menganggap sebagai tenaga pengajar semata-mata.

Bagi generasi lama, cikgu mungkin digambarkan sebagai lelaki bermisai lentik berwajah garang yang tidak lekang dengan rotan.

Walau apapun gambaran diberikan, jasa guru tidak mungkin dapat dibalas kerana melalui merekalah, kita belajar membaca, menulis, mengira dan menimba pelbagai ilmu sebelum menjadi manusia berjaya.

Kerjaya mulia ini tiada penghujung dengan kesinambungan mereka diteruskan guru generasi muda.

Hanya instrumen pengajaran dan pembelajaran (P&P) dan persekitaran berbeza menjadikan kerjaya ini semakin mencabar.

Guru Penolong Kanan Hal-Ehwal Murid (GPK HEM) SK Sri Keledang, Hulu Selangor, Mohamad Kosnan Sadri, 52, mengakui tugas dan tanggungjawab guru pada zaman ini jauh berbeza.

Menurutnya, dulu proses P&P dijalankan secara manual tetapi kini disokong penggunaan teknologi maklumat (IT) hingga menuntut guru yang sudah lama berkhidmat belajar menguasainya.

“Sebagai guru lama, penggunaan IT dalam P&P agak sukar kepada kami. Bagaimanapun, kami perlu menerima perubahan ini.

“Ia demi kebaikan bersama selain memartabatkan mutu pendidikan dan profesion perguruan keseluruhannya.

“Bagi merealisasikannya, guru lama perlu bertatih menguasai IT supaya proses P&P berjalan lancar,” katanya.

Mohamad Kosnan berkata, berbanding sistem pendidikan ketika beliau mula mengajar pada tahun 1984, situasi kini jauh berbeza.

“Sistem pendidikan sekarang melalui Pelan Tranformasi Pendidikan alaf baru mencabar kewibawaan guru kerana selain melahirkan pelajar berkualiti, kami juga perlu melahirkan golongan yang memiliki nilai murni.

“Sistem dulu pula lebih menerapkan kepada pemahaman, pembacaan, penulisan dan pengiraan selain pembentukan sosial pelajar,” katanya.

Katanya, guru zaman ini perlu bersyukur kerana mereka dilengkapi pelbagai prasarana pendidikan berbanding zaman dulu yang serba kekurangan.

“Walaupun kemudahan pendidikan tidak sehebat hari ini, guru dulu tetap hebat dalam melahirkan pemimpin berjaya.

“Cabaran guru kini pula lebih hebat kerana bukan sahaja perlu melahirkan generasi muda berilmu tapi juga terpaksa berdepan kerenah ibu bapa yang terlalu ingin mengambil tahu hingga ada kalanya bertindak di luar batasan,” katanya.

Pada masa sama, katanya, guru lama adakalanya berdepan kejutan budaya menerusi pembaharuan sistem pendidikan terkini.

“Contohnya hukuman rotan untuk mendidik pelajar kini dilarang, sebaliknya digantikan dengan pendekatan lebih berhemah.

“Guru dulu mendisiplinkan pelajar dengan mendenda termasuk rotan tapi pendekatan kini lebih kepada kaunseling.

“Banyak perbezaannya bagi kami yang sudah lama menggunakan pendekatan itu sebelum ini,” katanya.

Sementara itu, bakal guru, Mardianto Hamid menganggap perlu berdepan masyarakat yang sering mempertikaikan kewibawaan guru adalah cabaran terbesar yang perlu dihadapi.

Menurutnya, berdasarkan pengalaman sewaktu melakukan praktikal mengajar, baru-baru ini, ada segelintir masyarakat kurang yakin dengan guru muda.

“Sebagai bakal guru tentu saya bimbang. Ramai mempertikaikan kaedah P&P kami sedangkan itulah yang kami pelajari di kampus,” katanya.

Pelajar Ijazah Sarjana Muda Pendidikan Kesusasteraan Melayu di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) Tanjung Malim ini bagaimanapun mengakui jurang antara murid dan guru kini semakin mengecil.

“Ini kelebihan buat guru baru kerana hubungan lebih mesra akan menyebabkan pelajar menganggap kami ‘sporting’ dan memahami kehendak mereka,” katanya.

Seorang lagi bakal guru, Nur Denna Samsudin berkata, seiring arus modenisasi, kekurangan nilai murni begitu ketara dalam kalangan segelintir pelajar.

Katanya, bagi menangani isu itu, guru bukan saja perlu bijak mengendalikan pendekatan emosi, malah perlu memastikan pengurusan bilik darjah berlangsung dengan baik.

“Walaupun ada beranggapan hubungan guru baru dengan pelajar lebih mudah, ketegasan juga perlu seiring dengan kemesraan bagi mengelak hilangnya rasa hormat.

“Satu kebanggaan jika pelajar menghormati guru, begitu juga sebaliknya,” katanya yang bakal menamatkan pengajiannya tidak lama lagi dalam Ijazah Sarjana Muda Pendidikan Kesusasteraan Melayu Dengan Kepujian di UPSI.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 16 Mei 2016 @ 5:02 AM