Gambar hiasan
Gambar hiasan
Juwan Riduan


Beaufort: Guru lelaki kerugian RM7,550 selepas terpedaya dengan tawaran pembelian duit syiling lama yang diiklankan di media sosial, Jumaat lalu.

Dalam kejadian 1.28 tengah hari itu, mangsa berusia 36 tahun ketika berada di Pekan Menumbok melayari Instagram dan memaklumkan mahu membeli duit syiling lama.

Ketua Polis Daerah Beaufort, Deputi Superintendan Yusoff Zaki Mat Yaccob berkata, mangsa kemudian berurusan dengan individu tidak dikenali itu menggunakan aplikasi WhatsApp.

"Mangsa turut memindahkan wang berjumlah RM7,550 ke dalam tiga akaun individu yang berlainan sebelum menyedari ditipu apabila suspek meminta menyerahkan data perbankannya," katanya.

Yusoff Zaki berkata, mangsa kemudian membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Beaufort, semalam.

"Siasatan awal mendapati modus operandi suspek iaitu tipu tawaran pembelian duit syiling lama dalam Instagram dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Kesekaaan," katanya.

Katanya, orang ramai dinasihatkan berhati-hati dalam urusan jual beli supaya tidak mudah terpedaya dengan pelbagai muslihat penjenayah.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 30 Mac 2022 @ 3:54 PM