MANGSA ditemui pasukan Bomba berhampiran lokasi mangsa dilaporkan tergelincir. FOTO ihsan Pembaca
MANGSA ditemui pasukan Bomba berhampiran lokasi mangsa dilaporkan tergelincir. FOTO ihsan Pembaca
Juwan Riduan


Beaufort: Seorang lelaki yang tergelincir ketika menolak perahu dinaiki bapa dan kakak iparnya, ditemui lemas dalam kejadian di Kampung Mantao di sini, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira 10 pagi itu, mangsa berusia 21 tahun dikatakan sempat membantu mengemas barang di tempat jualan sarang burung milik abang kandungnya yang dilanda banjir.

Bagaimanapun, ketika hendak pulang mangsa dikatakan tergelincir ketika menolak perahu sebelum tenggelam dan gagal ditemui.

Ketua Polis Daerah Beaufort, Deputi Superintendan Yusoff Zaki Mat Yaacob ketika dihubungi mengesah kejadian.

Katanya, mangsa dikenali sebagai Fairol Jisirun dan siasatan awal mendapati selepas mangsa tergelincir, abangnya yang berada di situ cuba membantu tetapi gagal kerana tidak tahu berenang.

"Pasukan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah kemudiannya dimaklumkan dan usaha pencarian segera dilakukan," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Yusoff Zaki berkata, mayat mangsa akhirnya berjaya ditemui tidak jauh dari lokasi terakhir dia tergelincir dan dihantar ke Hospital Beaufort untuk bedah siasat.

Menurutnya, mangsa adalah korban pertama banjir di Beaufort dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR).

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 23 Mei 2021 @ 5:11 PM