GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Juwan Riduan


Beaufort: Seorang lelaki berusia 56 tahun ditahan di Kampung Banting Meraba, di sini, kelmarin, selepas dipercayai merogol seorang wanita yang juga orang kurang upaya (OKU).

Perkara itu terbongkar selepas mangsa berusia 24 tahun terbabit mendedahkan kejadian berkenaan kepada ibunya yang kemudiannya membuat laporan polis.

Ketua Polis Daerah Beaufort, Deputi Superintendan Yusoff Zaki Mat Yaacob berkata, hasil siasatan awal, mangsa menyatakan kejadian berlaku sekurang-kurangnya lima kali sebelum ini dan terbaru didakwa pada 17 Mei lalu.

Katanya, suspek turut didakwa memberi amaran akan memarahi mangsa sekiranya mendedahkan kejadian itu kepada orang lain.

"Menurut keterangan mangsa, suspek juga pernah mencabulnya beberapa kali sebelum ini.

"Mangsa akan dirujuk ke Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Sabah (HWKKS) untuk membantu siasatan lanjut," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Yusoff Zaki berkata, mangsa adalah seorang OKU yang mengalami masalah pertuturan dan sukar menerangkan kejadian yang berlaku terhadapnya.

Katanya, suspek berjaya ditahan anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Beaufort dan siasatan masih diteruskan.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 28 Mei 2021 @ 1:51 PM