Suspek ditahan selepas menyerah diri di IPD Beaufort.
Suspek ditahan selepas menyerah diri di IPD Beaufort.
Juwan Riduan


Beaufort: Lelaki yang diburu polis selepas didakwa mencekik dan memberi anaknya minum racun rumpai akhirnya menyerah diri, hari ini.

Dia yang berusia 43 tahun hadir di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Beaufort pada jam 9.40 pagi selepas menghilangkan diri sejak 16 Mei lalu.

Ketua Polis Daerah Beaufort, Deputi Superintendan Yusoff Zaki Mat Yaacob berkata, ketika soal siasat, suspek tidak mengaku memberi mangsa minum racun dan mendakwa tuduhan itu fitnah yang dibuat ke atasnya.

Katanya, dia akan dibawa di Mahkamah Majistret Beaufort esok untuk permohonan reman dan disiasat mengikut Seksyen 31 (1) (a) Akta Kanak-Kanak 2001.

"Suspek turut dirujuk ke Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) untuk ujian saringan air kencing," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Yusoff Zaki berkata, pihaknya merampas satu botol mineral 500ml jenama Sasa dan satu botol racun rumpai jenama Zagro Pounce 410 untuk siasatan lanjut.

Dalam kejadian 16 Mei lalu, suspek dikatakan berang terhadap isterinya kerana mahu pulang ke kampung di Keningau dan bertindak di luar batas apabila didakwa memberi racun kepada anak perempuan di rumah di Kampung Bundu, Kuala Penyu, di sini.

Suspek juga didakwa mencekik mangsa yang berusia lima tahun.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 24 Mei 2021 @ 9:22 PM