FOTO hiasan
FOTO hiasan
Juwan Riduan


Beaufort: Akibat cemburu buta, seorang suami dilaporkan mengugut isterinya menggunakan parang dalam kejadian di rumah mereka di Kampung Siaun, Menumbok, di sini, kelmarin.

Dalam kejadian jam 7 malam itu, suspek berusia 60 tahun itu turut dikatakan menumbuk pinggang isterinya kerana dipercayai mempunyai hubungan dengan lelaki lain.

Ketua Polis Daerah Beaufort, Deputi Superintendan Yusoff Zaki Mat Yaacob berkata, mangsa berusia 48 tahun itu kemudiannya terpaksa dihantar ke Hospital Beaufort menggunakan ambulans untuk mendapatkan rawatan.

Katanya, mangsa mengadu sakit di bahagian pinggang kiri dan tidak mampu berjalan semasa diambil keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Beaufort.

"Siasatan awal mendapati, suspek mengugut isterinya menggunakan parang dengan mengacu senjata tajam itu ke leher mangsa.

"Suspek turut mengugut mahu membunuh isterinya sebelum menumbuk bahagian pinggang kiri mangsa," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Yusoff Zaki berkata, punca kejadian adalah disebabkan suspek cemburu kerana mengesyaki mangsa ada hubungan dengan lelaki lain.

Katanya, mangsa turut mendakwa, kejadian keganasan terhadapnya bukan pertama kali berlaku.

"Keterangan lanjut akan diambil selepas mangsa dibenarkan keluar dari hospital.

"Siasatan menjurus kepada kes ugutan jenayah dan mendatang kecederaan membabitkan keganasan rumah tangga," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 7 Ogos 2021 @ 6:09 PM