MAYAT mangsa ditemui dalam keadaan terapung di bahagian Timur kawasan perairan Pualau Omadal, dekat sini, pagi tadi. FOTO ihsan Apmm
MAYAT mangsa ditemui dalam keadaan terapung di bahagian Timur kawasan perairan Pualau Omadal, dekat sini, pagi tadi. FOTO ihsan Apmm
Abdul Rahemang Taiming


MAYAT pesara Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang dilaporkan hilang seminggu lalu ditemukan terapung di timur kawas an perairan Pulau Omadal, Semporna, pagi tadi.

Mayat Mahmur Ajae, 45, berasal dari Kampung Keramat, ditemukan anggota Botronda PAC 58, Pasukan Polis Marin (PPM) Semporna, kira-kira 11.30 pagi.

Difahamkan, mayat mangsa yang lengkap berpakaian ditemukan dalam keadaan sudah kembung dengan beberapa kesan luka dipercayai digigit ikan dan akibat terik matahari.

Pengarah Zon Maritim Semporna, Komander Maritim Norrimi Hassan ketika dihubungi berkata mayat kemudian dibawa ke Jeti Maritim Malaysia sebelum diserahkan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Semporna untuk tindakan lanjut.

"Pengecaman mayat dilakukan oleh ahli keluarga mangsa sendiri yang turut bersama di lokasi sebaik dimaklumkan mengenai penemuan itu.

"Mangsa yang dilaporkan hilang tujuh hari lalu berdasarkan pengecaman awal pada pakaian," katanya ketika dihubungi di sini.

Norrimi berkata, dengan penemuan mayat itu, operasi mencari dan menyelamat (SAR) membabitkan anggota daripada pelbagai agensi ditamatkan 12 tengah hari ini.

Dalam kejadian pada Sabtu, mangsa keluar memancing dengan rakannya Salimin Paludin, 44, yang juga pesara TLDM, kira-kira 7 pagi ketika laut bergelora.

Bot dinaiki mereka dilaporkan dipukul ombak bagaimanapun Salimin sempat berpaut pada tali bot dan diselamatkan nelayan tempatan manakala Mahmur gagal dikesan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 10 Julai 2020 @ 3:16 PM