Hishammuddin bersama Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainuddin diberi penerangan mengenai pameran oleh Pengarah Eksekutif Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) 2022 Nadzeem Abd Rahman (kiri).  FOTO BERNAMA
Hishammuddin bersama Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainuddin diberi penerangan mengenai pameran oleh Pengarah Eksekutif Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) 2022 Nadzeem Abd Rahman (kiri). FOTO BERNAMA
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


Kuala Lumpur: Menteri Pertahanan dari Malaysia, Indonesia dan Filipina akan bertemu esok sempena Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) bagi menyemak semula persefahaman Perjanjian Kerjasama Trilateral (TCA).

Pertemuan itu juga bagi berbincang untuk mengukuhkan kawalan keselamatan di Laut Sulu, Sulawesi serta Pantai Timur Sabah.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata, kali terakhir ketiga-tiga negara bertemu secara rasmi adalah pada September 2018 di Manila, Filipina.

"Mesyuarat TCA bersama pemimpin pertahanan daripada Indonesia dan Filipina sempena DSA ini untuk semak semula persefahaman antara ketiga-tiga negara di Laut Sulu, berikutan berdepan ancaman yang sama di situ.

"TCA ini sudah dimulakan lebih awal sebelum ini dan semak semula perlu dilakukan untuk mengembangkan sektor keselamatan tiga negara," katanya pada sidang media selepas mengadakan lawatan tapak pameran DSA 2022 dan Pameran Perkhidmatan Keselamatan Asia (NATSEC) 2022 di sini, hari ini.

Hishammuddin berkata, bagi permulaan, TCA bertujuan membalas ancaman yang dihadapi di perairan ketiga-tiga negara namun selepas ini, fokus akan diberi kepada cara mengemudi geopolitik, mengenai keselamatan dalam negeri dan isu lain seperti penculikan dan tebusan.

"Bila membabitkan isu keselamatan dalam negeri, sudah tentu kita akan berbincang dengan Menteri Dalam Negeri, Hamzah Zainuddin dan rakan sejawatannya mengenai penculikan dan tebusan, keganasan yang berlaku di perairan kita.

"Pendekatannya perlu kreatif dan berani, pada masa yang sama perlu fokus ke hadapan. Kita sudah ada sebelum ini, kita hanya mahu menyemak semula, kita ada rondaan tentera laut bersama, rondaan udara antara tentera udara ketiga-tiga negara dan latihan darat yang akan dibincangkan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 27 Mac 2022 @ 1:18 PM