HISHAMMUDDIN (tengah), Prabowo Subianto (kiri) dan Delfin N. Lorenzana (kanan) pada sidang media selepas  mesyuarat tiga penjuru di antara Malaysia, Indonesia dan Filipina. FOTO Saifullizan Tamadi
HISHAMMUDDIN (tengah), Prabowo Subianto (kiri) dan Delfin N. Lorenzana (kanan) pada sidang media selepas mesyuarat tiga penjuru di antara Malaysia, Indonesia dan Filipina. FOTO Saifullizan Tamadi
Hafidzul Hilmi Mohd Noor

Kuala Lumpur: Perjanjian Kerjasama Trilateral (TCA) di antara Malaysia, Indonesia dan Filipina akan diperluas dengan melangkaui pelbagai bidang membabitkan kementerian serta agensi berkaitan.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata, pembabitan pelbagai agensi ketiga-tiga negara mampu memperluaskan aspek pengawasan dan perisikan di kawasan operasi.

Menurutnya, ketiga-tiga negara turut bersetuju menyegerakan penempatan Pegawai Perhubungan Peronda Trilateral (TMP LO) berstatus tetap di setiap negara.

Katanya, ia bagi membolehkan pertukaran maklumat, pemantauan dan pelaksanaan aktiviti pengawasan maritim serta udara yang lebih berkesan.

"Persetujuan juga dicapai untuk tiga negara berkenaan memberi penekanan operasi pengawasan bagi meningkatkan produktiviti serta ketepatan dalam mengekang aktiviti jenayah dan keganasan di rantau ini.

"Kali terakhir perbincangan TCA peringkat menteri diadakan pada 2018 dan penganjuran kali ini amat penting untuk menjadi bukti serta komitmen antara tiga negara ini terhadap keselamatan perairan terutama di Laut Sulu dan Sulawesi," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat TCA bersama Menteri Pertahanan Indonesia, Prabowo Subianto dan Setiausaha Pertahanan Filipina, Delfin N Lorenzana, di sini, hari ini.

Hishammudin berkata, mesyuarat TCA peringkat menteri menjadi platform tidak ternilai kepada ketiga-tiga negara bagi melihat perkembangan trilateral khususnya dalam memperkasakan kerjasama pertahanan selain bertukar pandangan berhubung situasi keselamatan.

"Menerusi mesyuarat ini, ketiga-tiga negara berhasil mencapai tiga persetujuan bersama dan akan diadakan sekurang-kurangnya setahun sebagai komitmen dalam ketiga-tiga negara," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 28 Mac 2022 @ 3:25 PM