UPACARA membakar lilin dan batang kemenyan sebagai tanda penghormatan kepada mangsa pesawat Boeing 737-800 China Eastern Airlines yang terhempas, semalam. FOTO Reuters
UPACARA membakar lilin dan batang kemenyan sebagai tanda penghormatan kepada mangsa pesawat Boeing 737-800 China Eastern Airlines yang terhempas, semalam. FOTO Reuters
Raja Noraina Raja Rahim

Kuala Lumpur: Tiada rakyat Malaysia dipercayai terbabit dalam nahas pesawat China Eastern Airlines yang terhempas di pergunungan di wilayah Guangxi, selatan China, semalam.

Perkara itu dimaklumkan Kementerian Luar Negeri berdasarkan maklumat diberikan Kedutaan Besar Malaysia di negara berkenaan.

"Kementerian tidak menerima sebarang laporan mengenai rakyat Malaysia yang terbabit dalam kejadian nahas China Eastern Airlines MU5735 di Wilayah Guangxi, pada 21 Mac.

"Namun, kementerian melalui Kedutaan Besar Malaysia di Beijing, Konsulat Jeneral Malaysia di Kunming, Nanning dan Guangzhou, Republik Rakyat China sedang memantau rapi perkembangan kemalangan itu," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Terdahulu, pesawat China Eastern Airlines dilaporkan terhempas di pergunungan di selatan China, pada Isnin.

Pesawat dengan 123 penumpang dan sembilan kru, sebelum itu terputus hubungan ketika di Wuzhou, menurut Pentadbiran Penerbangan Awam China (CAAC) dan syarikat penerbangan.

Pesawat itu berlepas dari Kunming pada 1.11 tengah hari (waktu tempatan), menurut data FlightRadar24 dan dijadualkan mendarat di Guangzhou, pada 3.05 petang (waktu tempatan).

Media tempatan melaporkan tiada tanda ada mangsa terselamat.

Kementerian Luar Negeri bagi pihak Kerajaan Malaysia menyampaikan ucapan takziah dan simpati kepada Kerajaan Republik Rakyat China serta keluarga mangsa yang terbunuh kemalangan itu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 22 Mac 2022 @ 6:28 PM