PASUKAN penyelamat di lokasi pesawat berkenaan terhempas di Wuzhou, Guangxi. FOTO CGTN/ Reuters TV
PASUKAN penyelamat di lokasi pesawat berkenaan terhempas di Wuzhou, Guangxi. FOTO CGTN/ Reuters TV
Reuters

Wuzhou: Pasukan mencari kini dalam usaha mengesan kotak hitam kedua pesawat China Eastern Airlines yang terhempas di pergunungan di selatan China, yang mengorbankan 132 penumpang dan anak kapal.

Pencarian itu bagi membolehkan maklumat lanjut mengenai data penerbangan diperoleh untuk siasatan.

Kotak hitam pertama ditemui pada Rabu adalah rakaman suara di kokpit pesawat berdasarkan penilaian awal Pentadbiran Penerbangan Awam China (CAAC).

Rakaman suara itu ditemui dalam keadaan sempurna sudah dihantar ke Beijing untuk analisis menurut pegawai CAAC.

Rakaman suara di kokpit itu membantu penyiasat mendapat maklumat lanjut komunikasi antara tiga juruterbang yang jumlahnya melebihi dua orang seperti kebiasaan, bagi pesawat Boeing 737-800.

Pesawat MU5735 itu dalam penerbangan Kunming menuju Guangzhou, pada Isnin sebelum pesawat itu tiba-tiba menjunam.

Berdasarkan laman web pengesanan penerbangan FlightRadar24, pesawat itu dikesan menjunam sebelum ketinggiannya meningkat seketika, sebelum kembali menjunam dan terhempas ke kawasan pergunungan di wilayah Guangxi.

Pihak berkuasa China berkata, juruterbang tidak memberikan sebarang respons terhadap panggilan dari pusat kawalan udara sebaik dikesan menjunam.

Masih terlalu awal untuk mengesahkan punca nahas dan pakar berkata ia mungkin berlaku disebabkan kombinasi beberapa faktor.

Setakat ini, tiada penumpang mahu pun anak kapal yang dilaporkan selamat.

Kapten penerbangan itu mula bekerja pada Januari 2018 dan memiliki 6,709 jam penerbangan, manakala juruterbang pertama dan kedua pula masing-masing memilik 31,769 jam penerbangan dan 556 jam penerbangan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 24 Mac 2022 @ 1:36 PM