ANTARA pesawat China Eastern Airlines. FOTO AFP
ANTARA pesawat China Eastern Airlines. FOTO AFP
AFP

Beijing: Siasatan awal China terhadap nahas pesawat China Eastern Airlines 5735 yang terhempas di pergunungan di wilayah Guangxi, selatan China, pada bulan lalu, tidak mengenal pasti puncanya, menurut laporan yang dikeluarkan pada Rabu.

Laporan yang dikeluarkan Pentadbiran Penerbangan Awam China (CAAC) itu tidak memberikan butiran lanjut mengenai kemungkinan sebab nahas itu.

Kemas kini itu dibuat selepas 30 hari berlalu sejak nahas iaitu tarikh akhir yang mana China dikehendaki menyerahkan laporan awal kepada Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa.

Siasatan mendapati kelayakan kru penerbangan dan kabin "memenuhi keperluan", dan perkara yang sama dikatakan mengenai kakitangan penyelenggaraan, kata CAAC dalam satu kenyataan.

"Sijil kelayakan terbang pesawat dalam kemalangan itu adalah sah," kata kenyataan itu.

Tiada laporan kesalahan sebelum penerbangan, begitu juga kargo yang diisytiharkan sebagai barangan berbahaya di dalam pesawat, kata CAAC, sambil menyatakan tiada masalah dengan peralatan navigasi dan pemantauan.

Pesawat itu dilengkapi dengan dua perakam penerbangan iaitu suara kokpit dan penjejak data penerbangan di kabin penumpang belakang.

Peranti itu "rosak teruk akibat impak, dan kerja pemulihan dan analisis data masih dijalankan," kata pihak berkuasa.

Pada 21 Mac lalu, pesawat China Eastern Airlines yang membawa 123 penumpang dan sembilan kru, dilaporkan terhempas di pergunungan di selatan China, pada Isnin.

Pesawat itu berlepas dari Kunming pada 1.11 tengah hari (waktu tempatan), menurut data FlightRadar24 dan dijadualkan mendarat di Guangzhou, pada 3.05 petang (waktu tempatan).

Tiada mangsa terselamat.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 April 2022 @ 10:28 AM