SAHIDIH menyampaikan sijil penghargaan Hero Bomba kepada Boby di BBP Kota Marudu. FOTO Juwan Riduan
SAHIDIH menyampaikan sijil penghargaan Hero Bomba kepada Boby di BBP Kota Marudu. FOTO Juwan Riduan
Juwan Riduan


Kota Marudu: Tindakan berani dan pantas seorang lelaki memadam kebakaran yang berjaya menghalang api daripada merebak dan memusnahkan flat guru di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tandek, Kota Marudu mendapat penghargaan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), hari ini.

Sijil penghargaan Hero Bomba kepada Boby Addy Nasry Mustapah, 42, disampaikan Ketua JBPM Zon 3 Kudat, Sahidih Mahali yang mewakili Pengarah JBPM Sabah, Abdul Razak Muda.

Hadir sama Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Marudu, Rony Sikawan.

Sahidih berkata, penganugerahan sijil itu adalah sebagai tanda penghargaan kepada Boby Addy atas tindakan terpuji membantu memadam kebakaran di Flat Guru SMK Tandek, 2 Mac lalu.

"Boby berjaya menghalang api merebak yang bermula dari bahagian kipas siling rumah menggunakan alat pemadam api.

"Ini juga menunjukkan pentingnya penyediaan alat pemadam api di rumah selain pengetahuan dan tindakan tidak panik yang sepatutnya diambil sekiranya berlaku kebakaran di peringkat awal," katanya ketika ditemui di Balai Bomba dan Penyelamat Kota Marudu selepas penyampaian Sijil Penghargaan kepada 'Hero Bomba', hari ini.

Beliau berkata, pihaknya berharap apa yang berlaku dalam kejadian ini akan menjadi sumber inspirasi kepada masyarakat khususnya dalam aspek keselamatan kebakaran.

"Tahniah Hero Bomba. Anda berjaya menyelamatkan kemusnahan harta benda serta kerugian yang lebih besar," katanya.

Dalam kejadian jam 2.30 petang itu, JBPM menerima panggilan kecemasan daripada seorang guru yang melaporkan kipas siling di dalam rumah terbakar.

Bagaimanapun setibanya pasukan bomba di lokasi, kejadian kebakaran itu dipadamkan sendiri oleh Boby Addy yang juga jiran guru terbabit menggunakan alat pemadam api.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 22 Mac 2022 @ 6:08 PM