Kebakaran membabitkan enam buah rumah yang dihuni 20 penduduk di Kampung Tondig, Tandek, Kota Marudu. FOTO Recqueal Raimi
Kebakaran membabitkan enam buah rumah yang dihuni 20 penduduk di Kampung Tondig, Tandek, Kota Marudu. FOTO Recqueal Raimi
Recqueal Raimi

ENAM rumah musnah menyebabkan 20 penghuni hilang tempat tinggal akibat kebakaran di Kampung Tondig, Tandek, Kota Marudu, hari ini.

Kejadian 12.15 tengah hari itu, bagaimanapun tidak membabitkan mangsa cedera atau kehilangan jiwa.

Seorang penduduk, Osman Jaman, 45, berkata kebakaran bermula dari rumah pertama berhampiran jalan raya sebelum merebak ke lima rumah berhampiran.

“Api marak dilihat bermula di bahagian atas (siling) rumah pertama itu merebak dengan cepat ke rumah lain disebabkan angin yang kencang.

“Penghuni yang menyedari kejadian mula menjerit meminta pertolongan dan bergegas membantu penghuni termasuk orang kurang upaya (OKU) dan pesakit kronik menyelamatkan diri,” katanya.

Osman berkata, mujur penghuni terbabit sempat diselamatkan oleh puluhan penduduk yang turut membantu menyelamatkan sebahagian perabot.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Daerah Kota Marudu, Rony Sikawan berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 12.19 tengah hari sebelum enam anggota dikerah ke lokasi dengan dua jentera termasuk jentera tangki air.

“Sebaik tiba, pasukan bomba yang dibantu tiga anggota Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Kampung Tandek mendapati empat premis tidak kekal musnah 100 peratus manakala dua lagi buah premis musnah 20 peratus.

“Operasi memadamkan api dijalankan segera dan berjaya dikawal sebelum dipadam sepenuhnya 2.05 petang,” katanya punca kebakaran serta anggaran kerugian masih dalam siasatan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 3 Jun 2019 @ 6:35 PM