MAJLIS Penyerahan Bantuan Awal Pengajian (BAP) Yayasan Bank Rakyat bertempat di Galeri Majlis, Bangunan Canselori. FOTO Ihsan UMS
MAJLIS Penyerahan Bantuan Awal Pengajian (BAP) Yayasan Bank Rakyat bertempat di Galeri Majlis, Bangunan Canselori. FOTO Ihsan UMS
Rafiqah Dahali

Kota Kinabalu: Yayasan Bank Rakyat (YBR) memperuntukkan Bantuan Awal Pengajian berjumlah RM80,000 kepada 80 penuntut Universiti Malaysia Sabah (UMS) sebagai persediaan untuk memulakan sesi pengajian, hari ini.

Peruntukan terbabit diberikan kepada penuntut UMS dalam kalangan keluarga berpendapatan rendah yang menerima tawaran kemasukan untuk melanjutkan pelajaran di peringkat diploma dan ijazah sarjana muda bagi semester baharu.

Ahli Lembaga Pemegang Amanah YBR, Datuk Dr Abdul Rahman Bakri yang mewakili Pengerusi YBR, Datuk Wira Megat Zulkarnain Tan Sri Omardin berkata, 80 penuntut terbabit akan menerima bantuan RM1,000 seorang.

Beliau berkata, selain misi membantu penuntut daripada keluarga kurang berkemampuan untuk melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi, pihaknya berharap inisiatif seperti ini dapat meringankan beban ibu bapa yang terkesan akibat pandemik Covid-19.

"Program bantuan seperti ini sedikit sebanyak mengurangkan bebanan kewangan ditanggung ibu bapa dan penuntut IPT sebelum mendapat mana-mana bantuan atau dana dalam meneruskan pengajian sedia ada.

"Kita amat mengalu-alukan bantuan seperti ini kerana sekurang-kurangnya pelajar kurang berkemampuan mendapat perhatian pihak luar dan memberikan rasa keterujaan untuk membuat persiapan memasuki pengajian sama seperti mereka yang bernasib baik," katanya menerusi kenyataan media, hari ini.

Beliau sebelum itu menyempurnakan Majlis Penyerahan Bantuan Awal Pengajian (BAP) YBR di Galeri Majlis, Bangunan Canselori, di sini, hari ini.

Sementara itu, beliau turut memaklumkan seramai 3,277 pelajar menerima manfaat melalui bantuan awal pengajian YBR dengan jumlah peruntukan RM2.2 juta sejak dari 2017 dan bagi 2022, sejumlah RM1.0 juta diperuntukkan bagi bantuan berkenaan.

Sementara itu, Naib Canselor UMS, Prof Datuk Dr Taufiq Yap Yun Hin dalam ucapannya berkata, pihaknya berterima kasih dengan inisiatif YBR bagi membantu penuntut UMS khususnya daripada golongan B40.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 21 Mac 2022 @ 3:04 PM