MOHD Imran (tiga dari kanan) menyampaikan sumbangan kepada murid sekolah sambil diperhatikan Widiawati (kanan). FOTO ihsan YAYASAN BANK RAKYAT
MOHD Imran (tiga dari kanan) menyampaikan sumbangan kepada murid sekolah sambil diperhatikan Widiawati (kanan). FOTO ihsan YAYASAN BANK RAKYAT
Amir Abd Hamid


Kuala Lumpur: Yayasan Bank Rakyat (YBR) menyediakan peruntukan bantuan pendidikan RM210,000 kepada 1,400 murid sekolah dan institusi pengajian tinggi di tiga lokasi luar bandar di Selangor.

Agihan bantuan membabitkan golongan sasar di Tanjung Karang, Sungai Besar dan Sabak Bernam itu sempena pembukaan semula sesi persekolahan dan semester di universiti.

YBR dalam kenyataannya berkata, agihan RM110,000 adalah untuk pelajar dalam kalangan keluarga berpendapatan rendah yang menerima tawaran kemasukan untuk melanjutkan pelajaran di peringkat universiti bagi memulakan pengajian di semester baru.

"Manakala RM100,000 lagi kepada murid sekolah yang bakal memulakan sesi persekolahan baru tidak lama lagi.

"Majlis Penyampaian Bantuan Persekolahan dan Bantuan Awal Pengajian YBR itu berlangsung di Sungai Besar, Selangor pada hari ini," menurut kenyataan itu.

Ia dirasmikan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sungai Panjang Datuk Mohd Imran Tamrin.

Hadir sama, Ahli Lembaga Pemegang Amanah YBR, Widiawati Abudzar yang juga Pengerusi Kelab Belia Wanita Muda Sungai Besar.

Menurutnya, misi YBR adalah membantu pelajar daripada keluarga kurang berkemampuan terutama masyarakat luar bandar, pedalaman dan miskin bandar mendapat peluang melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi.

Selain itu, katanya, diharapkan inisiatif seumpamanya dapat meringan beban ibu bapa yang terkesan akibat pandemik Covid-19 yang melanda negara.

"Program bantuan seperti ini sedikit sebanyak mengurangkan bebanan kewangan ditanggung ibu bapa dan penuntut Institusi Pengajian Tinggi (IPT) serta murid.

"Ini terutama sebelum mereka mendapat mana-mana bantuan atau dana dalam meneruskan pengajian sedia ada dan menghadapi sesi persekolahan.

"Diharapkan inisiatif bantuan pendidikan ini menjadi pendorong kepada organisasi lain turut sama membantu dalam memberi bantuan tanpa mengira bentuk atau nilai sumbangan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 4 Mac 2022 @ 10:29 PM