KERETA mangsa remuk selepas melanggar belakang lori. FOTO Ihsan Bomba.
KERETA mangsa remuk selepas melanggar belakang lori. FOTO Ihsan Bomba.
Mohamad Fahd Rahmat


Renggam: Warga emas maut, manakala lima individu lain cedera selepas kereta dinaiki berlanggar dengan lori tiga tan di Kilometer 58 Lebuhraya Utara Selatan dekat sini, awal pagi hari ini.

Wanita berusia 72 tahun itu meninggal dunia di tempat kejadian berikutan parah di kepala.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kluang Deputi Superintendan Abdul Razak Abdullah Sani berkata, kejadian dilapor kira-kira 1.30 pagi, dipercayai berlaku apabila Toyota Vios dinaiki mangsa dari arah Kuala Lumpur ke Johor Bahru, melanggar belakang lori.

"Akibat pelanggaran, warga emas yang juga penumpang hadapan terkorban dan mangsa di tempat duduk belakang cedera.

"Mereka yang cedera dihantar ke Hospital Enche' Besar Hajjah Khalsom Kluang," katanya ketika dihubungi hari ini.

Menurutnya kes itu disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Dalam pada itu, Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Renggam, Affendi Mustafar berkata, Pasukan Keluaran Operasi (PKO) membabitkan enam anggota dan sebuah jentera hadir ke lokasi untuk membantu mengeluarkan mangsa.

"Terdapat lima mangsa di dalam kereta yang terdiri daripada seorang lelaki dewasa (pemandu), dua perempuan dewasa, seorang kanak-kanak perempuan dan seorang kanak-kanak lelaki.

"Seorang mangsa wanita dewasa disahkan meninggal dunia oleh petugas Kementerian Kesihatan dan diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut," katanya yang memberitahu pihaknya menamatkan operasi pada 1.40 pagi.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 20 Mac 2022 @ 12:11 PM