TAN Sri Annuar Musa pada Perhimpunan Agung Umno 2021. FOTO Bernama.
TAN Sri Annuar Musa pada Perhimpunan Agung Umno 2021. FOTO Bernama.
Yusmizal Dolah Aling dan Ekhwan Haque Fazlul Haque


Kuala Lumpur: Pembubaran Parlimen tidak seharusnya dibuat Umno secara bersendirian.

Ketua Bahagian Umno Ketereh, Tan Sri Annuar Musa berkata, ini kerana kerajaan yang ada kini terdiri gabungan beberapa parti lain selain Umno.

Beliau yang juga Menteri Komunikasi dan Multimedia berkata, soal pembubaran Parlimen bagi memberi laluan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) perlu dibuat dengan cermat dan berhati-hati.

"Pembubaran Parlimen adalah satu daripada tiga kuasa mutlak Yang di-Pertuan Agong.

"Ini kerana ada yang anggap kuasa Perdana Menteri adalah mutlak untuk membubarkan Parlimen," katanya ketika ditemui di Perhimpunan Agung Umno 2021 di Pusat Dagangan Dunia, di sini, hari ini.

Katanya, ucapan dasar Presiden Umno Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dilihat cukup baik dan memberi laluan kepada Datuk Seri Ismail Sabri menentukannya.

Sementara itu, Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican, berpendapat PRU-15 perlu dibuat berdasarkan prestasi Ahli Parlimen parti yang menerajui kerajaan.

Katanya, pemilihan parti juga perlu memberi laluan terlebih dulu kepada PRU-15 agar mandat yang mahu diterima dari rakyat perlu didahulukan.

"Jika PRU-15 dan pemilihan parti diadakan dalam tahun yang sama, pilihan raya perlu didahulukan.

"Nama Perdana Menteri akan terus terjaga apabila Menteri dari Umno dilihat mampu selesaikan tugas dan masalah rakyat dengan baik," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 18 Mac 2022 @ 4:30 PM