BANGUNAN Parlimen. FOTO Arkib NSTP
BANGUNAN Parlimen. FOTO Arkib NSTP
Mahani Ishak


Kuala Lumpur: Di sebalik desas-desus pembubaran Parlimen semakin hampir susulan pertemuan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dengan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah tengah hari tadi, beberapa menteri kabinet yang dihubungi Berita Harian (BH) malam ini, memaklumkan mereka tidak menerima sebarang arahan atau maklumat baharu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Ja'afar berkata, lazimnya perkara berhubung pembubaran Parlimen, Perdana Menteri membuat keputusannya sendiri.

Ia sekali gus menolak pertanyaan mengenai kemungkinan mesyuarat kabinet akan diadakan seawal esok atau pada Selasa susulan ini kali kedua Ismail Sabri menghadap Yang di-Pertuan Agong selepas Khamis lalu.

"Tak pernah … amalan PM (Perdana Menteri), beliau buat keputusan sendiri. Menteri juga tidak dapat arahan hadir mesyuarat Kabinet untuk esok mahupun lusa.

"Jemaah Menteri hanya bermesyuarat hari Jumaat pada masa Parlimen bersidang. Kalau nak bubar tak payah mesyuarat.

"Tidak ada panggil mesyuarat pun, saya pun masih di Kuching," katanya kepada BH, malam ini.

New Straits Times (NST) hari ini melaporkan Perdana Menteri menghadap Yang Di-Pertuan Agong di Istana Negara, tengah hari tadi dikatakan mempunyai kaitan mengenai hal pembubaran Parlimen.

Bagaimanapun pertemuan itu tidak 'diketahui' media yang biasanya berkumpul di luar pintu utama istana.

"Pembubaran Parlimen mungkin seawal esok," kata sumber seperti dilaporkan NST.

Sesi Perdana Menteri menghadap Yang di-Pertuan Agong pada Khamis lalu, mendapat perhatian berikutan spekulasi beliau memohon pembubaran Parlimen daripada baginda bagi memberi laluan kepada pelaksanaan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Pelbagai tanda tanya serta persoalan bermain di fikiran rakyat ketika ini memandangkan desas-desus berkenaan pembubaran Parlimen semakin bertiup kencang.

Perkara itu dikuatkan lagi dengan kesepakatan yang dibuat menerusi Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno sebelum ini yang bersetuju agar pembubaran Parlimen dilaksanakan dalam masa terdekat iaitu pada tahun ini juga.

Sementara itu, Menteri Komunikasi dan Multimedia Tan Sri Annuar Musa turut memberi balas, tiada pemberitahuan mengenai mesyuarat dalam masa terdekat, esok atau lusa.

"Tak semestinya (panggil mesyuarat untuk bubar Parlimen), Kabinet masih mesyuarat seperti biasa," katanya sambil memaklumkan tiada arahan untuknya menghadiri mesyuarat Kabinet.

Namun beliau menyatakan, sekiranya Perdana Menteri mahu membubarkan Parlimen, sebaiknya beliau memanggil mesyuarat kabinet.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 9 Oktober 2022 @ 11:06 PM