Tahar Suhaimi Mohd Shariff (dua dari kiri) menerima Anugerah Anumerta Allahyarham anaknya, Muhammad Amirul Muizz yang disampaikan oleh Pro Canselor Universiti Malaysia Pahang (UMP), Tan Sri Abi Musa Asa'ari Mohamed Nor di Kuantan. FOTO Ihsan UMP
Tahar Suhaimi Mohd Shariff (dua dari kiri) menerima Anugerah Anumerta Allahyarham anaknya, Muhammad Amirul Muizz yang disampaikan oleh Pro Canselor Universiti Malaysia Pahang (UMP), Tan Sri Abi Musa Asa'ari Mohamed Nor di Kuantan. FOTO Ihsan UMP
Asrol Awang


Kuantan: Tiada ungkapan mampu dilafazkan sepasang suami isteri tatkala menerima Anugerah Anumerta buat Allahyarham anaknya pada Majlis Konvokesyen Universiti Malaysia Pahang (UMP) ke-15, di Dewan Jubli Perak, di sini, hari ini.

Allahyarham Muhammad Amirul Muizz, 24, meninggal dunia akibat kemalangan jalan raya pada 9 Februari 2020 ketika dalam perjalanan ke Bukit Goh, di sini untuk menjalani latihan industri.

Allahyarham adalah bekas penuntut di Fakulti Pengurusan Industri UMP yang juga pelajar tahun akhir dan bakal menamatkan pengajiannya selepas menjalani latihan industri.

Lebih memilukan kejadian terbabit disaksikan kedua ibu bapa mangsa ketika dalam perjalanan untuk menghantar keperluan di rumah sewanya.

Ibu Allahyarham, Pazilah Haron, 54, berkata kemalangan itu masih segar dalam ingatannya ketika dalam perjalanan dari Bera ke Kuantan untuk mengiringi anak ke rumah sewa bagi memulakan sesi latihan industri di Bukit Goh.

"Seperti kebiasaan, apabila arwah pulang ke kampus dengan menaiki motosikal, saya dan suami akan mengekorinya sehingga ke Kuantan.

"Rupanya waktu itu adalah saat akhir kami dapat bersamanya, siapa sangka tidak sampai 15 minit lagi untuk sampai ke rumah sewanya di Kuantan, Allahyarham Amirul Muiz terbabit dalam kemalangan.

"Lebih menyayat hati kejadian itu disaksikan di depan mata kami sendiri. Masih terngiang di ingatan saya apabila Allahyarham berhasrat memakai pakaian segak ketika hari konvokesyennya dan bergambar di sekitar UMP Pekan dan Gambang.," katanya.

Sementara itu, bapa Allahyarham, Tahar Suhaimi Mohd Shariff, 54, berkata semuanya hanya tinggal kenangan dan mengucapkan jutaan terima kasih di atas jemputan UMP untuk menerima ijazah sangat diidamkan Allahyarham itu.

Tahar yang hadir bersama Pazilah menerima Anugerah Anumerta disampaikan Pro Canselor UMP, Tan Sri Abi Musa Asa'ari Mohamed Nor di dalam kamar dewan.

Hadir sama, Pengerusi Lembaga Pengarah UMP, Tan Sri Dr Abdul Aziz Abdul Rahman dan Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Prof Dr Mohd Rosli Hainin.

"Harapan saya supaya anak bongsu kami, Muhammad Adam Mukhriz, 19, yang kini menuntut di Institut Kemahiran Mara di Pekan supaya mengikuti jejak langkah Allahyarham abangnya yang menyambung pengajian di UMP.

"Sejak Allahyarham meninggal dunia, UMP sering menghubungi kami dan menguruskan segala keperluan berkaitan akademik termasuklah bersetuju untuk menamatkan pengajian dengan mengurniakan ijazah ini.

"Ini adalah sesuatu yang amat menggembirakan kami sekeluarga kerana hasrat Allahyarham untuk membahagiakan kami akhirnya tercapai," kata Tahar.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 17 Mac 2022 @ 8:07 PM