SUTEKNO Ahmad Belon (kanan) menyampaikan cenderahati kepada Aminuddin selepas mesyuarat banteras dadah di Seremban. FOTO Mohd Amin Jalil
SUTEKNO Ahmad Belon (kanan) menyampaikan cenderahati kepada Aminuddin selepas mesyuarat banteras dadah di Seremban. FOTO Mohd Amin Jalil
Mohd Amin Jalil


Seremban: Penggunaan dadah sintetik yang memberi kesan ketagihan teruk kepada penagih menyukarkan usaha Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) memerangi aktiviti penyalahgunaan dadah berbanding sebelumnya.

Ketua Pengarah AADK Sutekno Ahmad Belon berkata, lebih memburukkan keadaan, dadah jenis itu juga mudah diperoleh termasuk melalui pembelian dalam talian.

"Memang suatu cabaran besar bagi kita (AADK) dalam usaha memulihkan mereka yang menggunakan dadah sintetik ini. Ia bukan sahaja membabitkan langkah merawat tetapi juga membantu memulihkan kesihatan dan mental penagih.

"Dadah jenis ini memberi kesan serius kepada penagih dan usaha pemulihan menjadi lebih sukar berkali ganda.

"Lazimnya, mereka yang menghadapi masalah mental, kita akan bekerjasama dengan pihak hospital untuk mendapatkan bantuan perkhidmatan unit psikiatri," katanya pada sidang media selepas Mesyuarat Tindakan Membanteras Dadah (MTMD) Peringkat Negeri Sembilan di sini, tadi.

MTMD dipengerusikan Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun.

Mengulas lanjut, Sutekno berkata, bilangan penagih dadah boleh bertambah berikutan dadah sintetik ini mudah diperoleh dan boleh digunakan di rumah.

"Dadah ini boleh dibekalkan melalui pembelian dalam talian selain dihantar oleh pekerja penghantar barangan dalam talian. Oleh itu orang ramai terutama ibu bapa perlu berhati-hati kerana dikhuatiri anak mereka memesan dadah menggunakan khidmat penghantaran ke rumah," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 15 Mac 2022 @ 3:20 PM