SUTEKNO mendedahkan dadah sintetik dijual dalam talian kemudian dihantar melalui perkhidmatan kiriman cepat atau orang persendirian. FOTO Bernama.
SUTEKNO mendedahkan dadah sintetik dijual dalam talian kemudian dihantar melalui perkhidmatan kiriman cepat atau orang persendirian. FOTO Bernama.
BERNAMA

Putrajaya: Dadah jenis sintetik kini dijual pada harga serendah RM18 melalui laman web gelap serta aplikasi Telegram dan WhatsApp, dedah Ketua Pengarah Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Sutekno Ahmad Belon hari ini.

Beliau berkata, bekalan dadah sintetik seperti pil kuda, syabu dan ekstasi itu kemudiannya dihantar kepada pelanggan melalui perkhidmatan kiriman cepat atau orang persendirian.

"Daripada pergi kepada tokan, mereka (penagih dadah) boleh order pesanan dan ia dihantar terus ke rumah," katanya dalam sidang media selepas mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Membanteras Gejala Dadah (JKMD) Bilangan 1 Tahun 2023 yang dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi di sini, hari ini.

Sutekno berkata, berdasarkan maklumat yang diperoleh AADK, penagih dadah membelanjakan RM50 bagi mendapatkan bekalan dadah setiap tiga hari dan jumlah itu meningkat mengikut tahap ketagihan.

"Dadah ini ikut keaslian atau ketulenan, ada yang murah iaitu serendah RM18 termasuk penghantaran ada direkodkan," katanya.

Sementara itu, beliau berkata kerajaan sedang giat merangka Rang Undang-Undang Akta Penyalahgunaan Dadah dan Bahan (Rawatan dan Pemulihan) bagi menggantikan Akta Penagih Dadah 1984.

Sutekno turut memaklumkan bahawa JKMD hari ini bersetuju supaya AADK melaksanakan Kempen Satu Juta Ahli Skuad Antidadah untuk menggiatkan program dan aktiviti gaya hidup sihat.

Beliau berkata skuad tersebut berperanan sebagai agen perubahan kepada keluarga dalam penyampaian mesej "pencegahan dadah bermula di rumah".

Ahmad Zahid selepas mempengerusikan JKMD hari ini berkata Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan AADK diberi tempoh tiga bulan untuk mengkoordinasi usaha merangka inisiatif atau program efektif bagi membendung masalah dadah.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 10 Julai 2023 @ 4:28 PM