GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Nurul Hidayah Bahaudin


Kuala Lumpur: Kos murah dan mudah berbanding jenayah fizikal menyebabkan jenayah siber menjadi 'pilihan' penjenayah sekali gus mendorong kegiatan itu semakin berleluasa.

Pengarah Urusan dan Ketua Editor Esecurity and Privacy Channel (ESPC) Prof Madya Kolonel (B) Datuk Dr Husin Jazri berkata, sindiket jenayah siber dilihat semakin kreatif menjerat mangsa dengan pelbagai modus operandi baharu.

"Hasil penelitian dilakukan, tidak ada statistik di seluruh dunia yang mencatatkan penurunan dalam kes penipuan. Ini kerana ia adalah satu pendapatan dengan melakukan jenayah siber untuk mendapat pulangan lumayan.

"Malah, kos melancarkan jenayah siber adalah mudah dan rendah dari kos jenayah dalam bentuk fizikal dengan kadar dikenakan tindakan undang-undang juga lebih rendah selain kejayaan lebih tinggi dibanding dengan jenayah fizikal," katanya.

Beliau berkata demikian sebagai ahli panel menerusi forum dalam Town Hall Discussion Polis Kuala Lumpur Scammer Ancaman Sosial Dalam Komuniti Masyarakat pada aplikasi Google Meet, hari ini.

Selain Husin, terdapat dua lagi ahli panel dalam forum berkenaan iaitu Pegawai Kawal Selia Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) Zulkarnain Mohd Yassin serta Penolong Pengarah Siasatan Jenayah Telekomunikasi Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman Superintendan Rozeni Ismail.

Forum itu dikendalikan Timbalan Naib Canselor Pembangunan Universiti Malaya (UM) Prof Ir Dr Abdul Aziz Abdul Rahman selaku moderator dan dirasmikan Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Azmi Abu Kassim.

Bagi Zulkarnain, pihaknya dengan kerjasama syarikat telekomunikasi dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) berjaya menyekat 1.6 bilion panggilan dipercayai berkaitan dengan penipuan daripada pengguna dan 1,151 laman sesawang berbentuk penipuan disekat.

"Bagaimanapun, masih ada panggilan berunsur penipuan terlepas kepada pengguna. Ini bermakna kita tidak boleh lepas tangan dan leka apabila menerima panggilan meragukan.

"Malah, ada sindiket penipuan ini pintu mempunyai maklumat lebih hebat kerana 'melombong' maklumat hasil perkongsian gaya hidup kita media sosial.

"Perkara ini juga mungkin boleh berlaku apabila sistem maklumat pelanggan pihak tertentu diceroboh selain tidak menafikan kebocoran dalaman yang dijual atau dibocorkan kepada sindiket," katanya.

Sementara itu, Rozeni berkata, PDRM menubuhkan jawatankuasa khas bagi menangani ancaman siber termasuk jenayah siber.

"Ia menggariskan enam bentuk jenayah utama iaitu, Macau Scam, belian dalam talian, Love Scam, e-kewangan (pintasan emel), pinjaman tidak wujud dan pelaburan dalam talian. Bagi keenam-enam kategori jenayah itu, sebanyak 98,607 kes direkodkan membabitkan kerugian berjumlah RM3.3 bilion bagi tempoh 2017 hingga 2021.

"Dalam tempoh sama, seramai 30,124 suspek ditahan dan 25,559 individu sudah dituduh di mahkamah dengan kebanyakan mereka termasuk keldai akaun.

"Ada sebahagian individu yang tidak dituduh di mahkamah, diletakkan untuk tindakan di bawah Akta Pencegahan Jenayah (Poca) 1959," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 10 Mac 2022 @ 4:17 PM