MOHD Zakaria menyampaikan ucapan pada majlis penutup Program Seminar Trend Terkini Jenayah Komersial anjuran JSJK, hari ini. FOTO Bernama.
MOHD Zakaria menyampaikan ucapan pada majlis penutup Program Seminar Trend Terkini Jenayah Komersial anjuran JSJK, hari ini. FOTO Bernama.
Nurul Hidayah Bahaudin


JABATAN Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Bukit Aman merekodkan jumlah kerugian sehingga RM250 juta akibat jenayah siber bagi tempoh Januari hingga Jun lalu.

Pengarah JSJK Datuk Seri Mohd Zakaria Ahmad berkata, jumlah itu daripada 5,069 laporan yang diterima pihaknya sepanjang tempoh enam bulan berkenaan.

“Dalam tempoh itu, 1,973 individu sudah ditahan dan antara jenayah siber yang paling banyak dilaporkan adalah penipuan telekomunikasi termasuk Macau Scam, penipuan berkaitan pembelian dalam talian atau e-dagang dan ‘love scam’,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Seminar Trend Terkini Jenayah Komersial di Ibu Pejabat JSJK, Bukit Aman, hari ini.

Mohd Zakaria berkata, penipuan telekomunikasi menunjukkan ada kebocoran data membabitkan penggunaan jenis kad ATM, debit dan kredit berikutan suspek mempunyai maklumat itu ketika membuat panggilan palsu.

“Bank perlu memainkan peranan dengan menyimpan maklumat peribadi pelanggannya secara lebih ketat lagi.

“Manakala, bagi e-dagang, pengguna perlu lebih berhati-hati ketika membeli barang dalam talian seperti Facebook dan mengamalkan tips, kaedah pembayaran melalui ‘COD’ (Cash On Delivery) untuk mengelak ditipu,” katanya.

Beliau menasihati orang ramai supaya jangan mudah terjerat dengan sindiket ‘love scam’ yang modus operandinya adalah ‘memancing’ mangsa menerusi dakwaan mahu menghantar hadiah.

“Namun, mangsa diminta mengeluarkan sejumlah wang sebagai wang pemprosesan kononnya untuk melepasi pemeriksaan dilakukan pihak kastam,” katanya.

Sementara itu, kira-kira RM2 bilion kerugian dialami mangsa akibat jenayah komersial termasuk pinjaman tidak wujud dan penipuan skim pelaburan sejak 2015.

“Ini secara tidak langsung akan menjejaskan ekonomi negara kerana pihak luar kurang yakin untuk membuat pelaburan di negara ini selepas melihat statistik berkenaan.

“Mereka juga mungkin melihat dari segi kelemahan aliran wang masuk dan keluar dengan mudahnya,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 7 Ogos 2019 @ 4:09 PM