GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Nurul Hidayah Bahaudin


Kuala Lumpur: Meskipun kerap kali diuar-uarkan mengenai kegiatan penipuan dalam talian, namun masih ramai masyarakat menjadi mangsa dengan kerugian mencecah jutaan ringgit.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Azmi Abu Kassim berkata, masih ada segelintir masyarakat yang begitu mudah terpedaya dengan pujukan selain kurang peka terhadap jenayah siber.

"Dalam kebanyakan kes, mangsa sering kali dijanjikan tawaran lumayan dan janji manis oleh sindiket penipuan, namun mereka tidak menyedarinya.

"Terdapat satu kes apabila mangsa ditanya adakah mereka pernah mendengar kes penipuan seperti itu dan mereka menjawab dengan mudah bahawa tidak pernah diberi maklumat kes sebegini," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Town Hall Discussion Polis Kuala Lumpur Scammer Ancaman Sosial Dalam Komuniti Masyarakat menerusi aplikasi Google Meet, hari ini.

Dalam program itu, terdapat forum yang dikendalikan Timbalan Naib Canselor Pembangunan Universiti Malaya (UM) Prof Ir Dr Abdul Aziz Abdul Rahman selaku moderator.

Tiga ahli panel dalam forum berkenaan adalah Pengarah Urusan dan Ketua Editor Esecurity and Privacy Channel (ESPC) Prof Madya Kolonel (B) Datuk Dr Husin Jazri, Pegawai Kawal Selia Suruhanjaya Kominikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) Zulkarnain Mohd Yassin serta Penolong Pengarah Siasatan Jenayah Telekomunikasi Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman Superintendan Rozeni Ismail.

Azmi berkata, berdasarkan statistik direkodkan berkaitan jenayah siber di ibu kota ini, sebanyak 3,464 kes dilaporkan membabitkan kerugian RM2.6 billion.

"Jumlah kes direkodkan meningkat sebanyak 598 kes atau 17.3 peratus apabila 4,062 kes dicatatkan pada 2020, namun kerugian merekodkan penurunan dengan mencatatkan RM637 juta.

"Pada tahun lalu pula, jumlah kes terus meningkat sebanyak 278 kes atau 6.8 peratus kepada 4,360 kes dengan peningkatan nilai kerugian kepada RM665 juta," katanya.

Beliau berkata, pihaknya akan terus mempergiatkan usaha untuk membanteras jenayah siber di ibu kota ini dengan meningkatkan kempen kesedaran dalam kalangan masyarakat.

"Polis Kuala Lumpur mempunyai kira-kira 9,000 kekuatan dan jumlah itu tidak mungkin boleh berjaya meningkatkan kefahaman masyarakat mengenai kegiatan penipuan tanpa kerjasama agensi lain, pertubuhan bukan kerajaan serta kelompok masyarakat.

"Kami juga mahu menyeru orang ramai supaya membantu pihak polis memastikan jenayah siber dapat dibanteras dalam menjadikan Kuala Lumpur sebagai bandar raya selamat," katanya.

Menurutnya, orang ramai perlu tahu ada pihak yang mahu mengambil kesempatan dengan menggunakan pelbagai cara untuk menipu.

"Jika menerima panggilan telefon daripada individu tidak dikenali, segera hentikan perbualan sekiranya ia menimbulkan rasa curiga," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 10 Mac 2022 @ 1:36 PM