Kuala Lumpur: Polis Diraja Malaysia (PDRM) menjangkakan golongan pelajar dan belia akan menjadi sasaran baharu sindiket penipuan atas talian atau 'scammer' terutama membabitkan urusan pinjaman wang dan keldai akaun sebagai meneruskan jenayah mereka di masa hadapan.
Ketua Polis Negara Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, kelicikan penjenayah siber mengeksploitasi perubahan teknologi dan kreatif menjerat mangsa dengan pelbagai modus operandi antara punca peningkatan kes jenayah itu.
Malah, katanya, ia juga berpunca daripada kesedaran masyarakat mengenai jenayah siber yang masih berada pada tahap sederhana.
"PDRM melihat wujudnya keperluan untuk menyebar luas ilmu pengetahuan kepada masyarakat supaya mereka dapat mengelakkan diri daripada menjadi mangsa aktiviti jenayah itu.
"Ini kerana jenayah kewangan boleh membawa impak negatif kepada mangsa dan lambakan kes jenayah membabitkan keldai akaun akibat akaun bank yang disalahgunakan bagi tujuan penipuan.
"Aktiviti jenayah kewangan sebegini turut memberi kesan jangka panjang kepada ekonomi dan keselamatan negara serta menggugat kemajuan ekonomi," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Pameran Maya Jenayah Kewangan: Semak Sebelum Diperdaya anjuran Muzium Galeri Seni Bank Negara Malaysia (BNM) yang disiarkan secara langsung di laman sosial Facebook, hari ini.
Turut sama pada majlis itu Gabenor BNM Tan Sri Nor Shamsiah Mohd Yunus.
Mengulas lanjut, Acryl Sani berkata, tujuh jenayah kewangan utama membabitkan penipuan atas talian adalah belian secara atas talian, pinjaman tidak wujud, pelaburan atas talian, macau scam, african scam, pintasan emel dan penipuan SMS.
Beliau berkata, tujuh jenayah itu menunjukkan trend peningkatan dalam tempoh tiga tahun iaitu 13,703 kes membabitkan kerugian RM539 juta pada 2019 meningkat kepada 17,227 kes dengan kerugian RM511.2 juta (2020) manakala 20,701 kes dengan kerugian RM560.8 juta (2021).
Selain itu, katanya, bagi tempoh Januari hingga Julai tahun ini pula jumlah kes direkodkan sebanyak 12,092 kes dengan nilai kerugian RM414.8 juta.
Menurutnya, seramai 33,147 suspek kes penipuan siber ditangkap dan 22,196 kes berjaya dituduh di mahkamah, sepanjang tempoh tiga tahun berkenaan.
Kata beliau, PDRM sudah bekerjasama dengan institusi perbankan dalam memastikan siasatan khususnya membabitkan penggunaan keldai akaun dapat dilengkapkan dengan lebih cepat mengikut peruntukan Kanun Keseksaan dan akta berkaitan.