Gambar hiasan.
Gambar hiasan.
Oleh Ruwaida Md Zain


Shah Alam: Sejumlah 2,716 kes jenayah siber dengan kerugian RM137.7 juta dilaporkan sepanjang tahun lalu di Selangor.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (Jenayah Pemalsuan/Pelaburan Bersindiket/Siber) Superintendan Raduan Othman berkata, pada masa sama, sepanjang Januari sehingga Ogos lalu pula, 2,307 kes jenayah siber dengan kerugian RM67.8 juta turut dilaporkan.

"Kes jenayah siber yang dilaporkan ini membabitkan empat kesalahan iaitu jenayah telekomunikasi, 'e-financial fraud', love scam dan e-dagang (belian dalam talian).

"Mengikut pecahan, 978 kes jenayah telekomunikasi membabitkan RM96.27 juta kerugian dilaporkan sepanjang tahun lalu," katanya pada program Bual Bicara menerusi Facebook rasmi polis negeri ini semalam.

Bual Bicara bertajuk 'Penipuan Jenayah Siber' itu turut dihadiri Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Selangor Senior Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal.

Pada masa sama, menurut beliau, 66 kes e-financial fraud membabitkan kerugian RM8.46 juta turut dilaporkan bagi 2020.

"Bagi love scam, kami merekodkan 223 kes dengan jumlah kerugian RM16.4 juta manakala bagi e-dagang, ia membabitkan 755 kes dengan jumlah kerugian RM7.5 juta," katanya.

Menurut Raduan, jenayah siber bermula sekitar 1990-an dan ia semakin meningkat saban tahun.

"Tidak dinafikan, sikap 'tamak' segelintir mangsa juga membuka ruang kepada penjenayah siber untuk terus melakukan penipuan demi penipuan.

"Ada juga tidak mahu buat laporan polis kerana malu selain jumlah kerugian dianggap kecil," katanya.

Beliau berkata, antara faktor lain yang menjadi punca jenayah ini apabila terdapat pihak yang mengambil kesempatan dengan mencipta laman web perbankan.

"Ia dilakukan oleh penjenayah siber dengan menggunakan taktik 'phishing'. Antaranya dengan menghasilkan laman web palsu yang menyerupai laman web perbankan sebenar.

"Pengguna yang tertipu akan memasukkan kata laluan di laman web palsu ini dan semua maklumat ini akan diperoleh oleh penjenayah siber," katanya.

Menurut beliau, ada pula mangsa yang sering menjadi sasaran penjenayah siber kerana mereka tidak mengetahui cara-cara untuk mengelakkan diri daripada ancaman jenayah siber.

Raduan mengingatkan masyarakat supaya sentiasa berwaspada dan bertindak bijak dalam menggunakan segala kemudahan teknologi yang ada hari ini.

"Berhati-hati apabila menerima panggilan daripada mana-mana pihak yang meminta membuat bayaran atau pindahan wang.

"Jangan hubungi semula nombor telefon yang anda terima sebaliknya dapatkan nombor telefon rasmi syarikat, organisasi atau institusi berkaitan untuk pengesahan lanjut," katanya.

Pada masa sama, beliau meminta orang ramai supaya tidak mudah percaya dengan tawaran pembelian pada harga tidak munasabah.

"Jangan dedahkan butiran peribadi seperti nombor akaun bank kepada individu tidak dikenali," katanya.

Orang ramai boleh melayari portal dan Facebook rasmi Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Bank Negara Malaysia (BNM) untuk mendapatkan maklumat serta nasihat berkaitan jenayah siber serta penipuan kewangan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 September 2021 @ 3:27 PM