Nur Izzati Mohamad


LEBIH 700 individu dikesan terperangkap dengan sindiket jenayah siber di Pulau Pinang yang membabitkan kerugian hingga RM20.6 juta dari Januari hingga Julai lalu.

Ketua Polis negeri, Datuk T Narenasagaran berkata, hampir setiap hari terdapat sahaja laporan polis dibuat individu yang terjebak dengan sindiket penipuan berkenaan menggunakan pelbagai modus operandi untuk memperdaya mangsa.

Beliau berkata, situasi jenayah berteknologi tinggi itu amat membimbangkan apabila statistik menunjukkan peningkatan begitu ketara berbanding dua tahun sebelum ini.

“Pada 2017 sebanyak 965 kes dengan kerugian RM19.3 juta dilaporkan dan tahun lalu pula meningkat apabila merekodkan 1,031 kes membabitkan nilai kerugian sekitar RM29.7 juta.

“Bagi Januari hingga Julai tahun ini pula sudah merekodkan sejumlah 731 kes dengan kerugian RM20.6 juta dan angka ini dilihat amat membimbangkan apabila masih ada lagi individu yang percaya walaupun berkali-kali amaran serta nasihat diberikan,” katanya pada sidang media mengenai Jenayah Siber dan Penganjuran Seminar Keselamatan Antarabangsa Kelima di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) negeri di Georgetown, hari ini.

Jelasnya, secara perbandingan antara 2017 dan 2018, jumlah kerugian meningkat sebanyak 53.5 peratus iaitu RM10.3 juta manakala jumlah kes pula bertambah 66 kes atau 6.6 peratus.

“Trend jenayah siber paling popular yang membuatkan mangsa mudah terperangkap membabitkan Macau Scam, penipuan cinta siber (Love Scam), pinjaman wang tidak wujud, penipuan e-kewangan dan belian atas talian,” katanya.

Narenasagaran berkata, orang ramai diingatkan bahawa panggilan telefon atau pesanan mesej yang diterima supaya mereka memindahkan wang ke akaun lain adalah 99.9 peratus adalah palsu.

“Kebiasaannya peminjam daripada mana-mana agensi kewangan hanya menerima mesej untuk mereka membayar balik pinjaman sahaja, bukannya diberi nombor akaun lain dan perlu membayarnya melalui atas talian.

“Begiti juga dengan panggilan kononnya mereka disiasat pihak berkuasa atas kesalahan tertentu sehingga akaun bank dibekukan dan perlu memindahkan wang ke akaun lain,” katanya.

Tegasnya, jika seseorang itu berdepan dengan kes jenayah, polis akan segera ke rumah individu berkenaan tanpa perlu menghubungi mereka terlebih dahulu.

Sementara itu, Pengerusi Yayasan Pencegahan Jenayah (MCPF) negeri, Datuk Seri Syed Jaafar Syed Ali mempelawa pelbagai pihak menyertai seminar yang akan diadakan pada 24 dan 25 September depan untuk mengetahui kepada cabaran dan kesan daripada jenayah siber.

Katanya, seminar itu membariskan sembilan ahli panel terdiri daripada pakar khususnya dalam jenayah siber antaranya Presiden Persatuan Fraud Bertauliah Malaysia (ACFE), Datuk Seri Akhbar Satar dan Pengerusi Eksekutif Internet Fraud Watchdog Ltd (IFW), Ken Gamble.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 15 Ogos 2019 @ 9:29 PM
GEORGETOWN 15 OGOS 2019. Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk T Narensagaran dalam sidang media mengenai kes jenayah siber di pusat media Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang. NSTP/DANIAL SAAD
GEORGETOWN 15 OGOS 2019. Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk T Narensagaran dalam sidang media mengenai kes jenayah siber di pusat media Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang. NSTP/DANIAL SAAD