RUNTUHAN kuari batu kapur di Keramat Pulai, Simpang Pulai. FOTO L Manimaran
RUNTUHAN kuari batu kapur di Keramat Pulai, Simpang Pulai. FOTO L Manimaran
Balqis Jazimah Zahari


Ipoh: Taburan dan kekerapan hujan menjadi punca berlakunya kejadian runtuhan batu kuari di Keramat Pulai, Simpang Pulai, di sini, hari ini.

Pengarah Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) Perak, Datuk Ahmad Zukni Ahmad Khalil berkata, kuari berkenaan adalah antara kuari yang aktif beroperasi di Simpang Pulai.

"Seperti sedia maklum, batu kapur mengandungi kalsium karbonat yang mudah larut apabila terkena air dan mengakibatkan terbentuknya rongga pada batuan terbabit.

"Ini menyebabkan struktur batuan berkenaan lemah dan berlakunya kegagalan muka cerun seterusnya batu runtuh," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Ahmad Zukni berkata, perubahan cuaca yang tidak menentu sejak kebelakangan ini juga menjadi antara faktor kejadian runtuhan terbabit.

"Sejak dua minggu kebelakangan ini memang hujan lebat dan ada masanya cuaca panas.

"Struktur batu kapur yang berongga tambahan pula faktor cuaca dengan hujan lebat jadi ia mengakibatkan berlakunya kejadian batu runtuhan berkenaan," katanya.

Beliau berkata, ketika ini pihaknya sudah menghantar beberapa pegawai bagi melakukan pemantauan di lokasi kejadian.

"Peranan JMG di lokasi adalah untuk memantau keadaan di cerun runtuhan terbabit bagi memastikan ia selamat dimasuki oleh pasukan penyelamat untuk melakukan operasi.

"Ketika ini hujan lebat di sana, jadi sepatutnya kerja-kerja penyelamatan diberhentikan seketika kerana ia berbahaya dan berisiko," katanya.

Bomba hari ini mengesahkan mangsa yang tertimbus dalam runtuhan kuari itu meningkat kepada dua orang berbanding seorang yang dilaporkan sebelum ini.

Media sebelum ini melaporkan seorang hilang manakala seorang dilaporkan cedera parah selain dua mangsa sempat menyelamatkan diri dalam insiden jam 9.40 pagi itu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 8 Mac 2022 @ 6:13 PM