SHAMSUL ANUAR NASARAH
SHAMSUL ANUAR NASARAH
BERNAMA

Ipoh: Blok batuan tergantung bersaiz antara lima hingga 10 meter di cerun kaki bukit batu kapur di dalam kawasan resort peranginan The Banjaran Hotsprings Retreat, Tambun, di sini, berisiko mengalami runtuhan pada bila-bila masa.

Menteri Tenaga dan Sumber Asli Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah berkata, penilaian lapangan oleh Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) mendapati cerun yang mengalami runtuhan, semalam masih belum stabil dan runtuhan kecil masih berlaku.

Katanya, JMG menganggarkan keluasan runtuhan kira-kira 5,000 meter persegi membabitkan ketinggian antara 50 hingga 100 meter.

"Terdapat aliran air keluar dari beberapa retakan di sepanjang muka cerun yang menghadap ke deretan villa di pusat peranginan itu. "Sehubungan itu, semua pihak diminta mengambil langkah berjaga-jaga," katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Shamsul Anuar berkata, kementeriannya melalui JMG akan terus membantu pihak berkuasa tempatan dalam memantau kestabilan cerun di kawasan itu dan memberi nasihat keselamatan serta perancangan pembangunan di lereng-lereng bukit selaras dengan garis panduan Penentuan Zon Bahaya di Sekitar Batu Kapur.

Dalam kejadian runtuhan awal pagi semalam, dua penghuni salah sebuah unit di pusat peranginan itu maut dikenali sebagai Ooi Chee Wei, 39, dan Lee Tze Juin, 32. Kedua-duanya berasal dari Kuala Lumpur dan datang ke Ipoh atas urusan kerja.

Hasil bedah siasat di Hospital Raja Permaisuri Bainun, di sini, mengenal pasti kematian kedua-dua mangsa berpunca daripada kecederaan akibat dihempap tanah serta tembok dinding.

Berita berkaitan

Hujan berterusan boleh sebabkan tanah runtuh

2 mangsa tanah runtuh tidak langgar PKPB

Polis sahkan identiti 2 mangsa tanah runtuh

Lokasi tanah runtuh belum selamat

Resort patuhi syarat keselamatan

Hujan lebat, struktur lemah dorong tanah runtuh

Dua mangsa terperangkap tanah runtuh ditemui maut [METROTV]

2 terperangkap tanah runtuh di Tambun

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 11 November 2020 @ 5:10 PM