KOTA BHARU 15 NOVEMBER 2016. ( KBM426T ) Pementasan teater yang dipersembahkan sempena Syarahan Perdana Tok Kenali, di Dewan Konvensyen, Kelantan Trade Centre (KTC), di sini. STR/FARIS ZAINULDIN
KOTA BHARU 15 NOVEMBER 2016. ( KBM426T ) Pementasan teater yang dipersembahkan sempena Syarahan Perdana Tok Kenali, di Dewan Konvensyen, Kelantan Trade Centre (KTC), di sini. STR/FARIS ZAINULDIN
TENGKU Mohammad Rizam (tiga kiri) lancar buku terbitan MAIK setelah merasmikan Syarahan Perdana Tok Kenali. FOTO Faris Zainuldin
TENGKU Mohammad Rizam (tiga kiri) lancar buku terbitan MAIK setelah merasmikan Syarahan Perdana Tok Kenali. FOTO Faris Zainuldin
Hazira Ahmad Zaidi


Kota Bharu: Persembahan teater berlatarbelakangkan ayat suci al-Quran akan diperkembangkan menjadi tarikan baru dalam menyampaikan dakwah Islamiah di Kelantan.

Timbalan Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK), Dr Nik Mohd Azlan Abd Hadi berkata, pihaknya mengiktiraf teater sebagai medium baru berdakwah selain menerusi forum, ceramah agama dan usrah di masjid mahupun surau.

Untuk itu, katanya, hari ini diadakan pementasan teater fragmental ilmuwan agama Kelantan, Tok Kenali yang berdurasi 50 minit untuk tontonan masyarakat.

Teater konsep Islamik itu dibarisi pelakon yang juga kakitangan MAIK, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Wilayah Timur dan Pertubuhan Peradaban Melayu Kelantan (PERADABAN).

"Kami menilai teater sebagai satu daripada tarikan baru untuk menyampaikan dakwah dan menarik lebih ramai anak muda untuk lebih mengenali tokoh-tokoh ulama yang tersohor suatu ketika dahulu.

"Selain itu, ia juga menjadi objektif utama MAIK untuk mempromosikan dakwah kepada seluruh rakyat di negeri ini dan juga seantero dunia secara umumnya," katanya ditemui selepas persembahan itu sempena Syarahan Perdana Tok Kenali, di Pusat Dagangan Kelantan (KTC), di sini, hari ini.

Tengku Temenggong Kelantan, Datuk Tengku Muhammad Rizam Tengku Abdul Aziz berkenan merasmikan di Dewan Konvensyen, Kelantan Trade Centre (KTC), di sini, hari ini.

Hadir sama, Tengku Puan Temenggong Kelantan, Datin Tengku Nor Hayati Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj; Mufti Kelantan, Datuk Mohamad Shukri Mohamad; dan Presiden PERADABAN, Datuk A Aziz Deraman.

Gambar Faris Zainuldin

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 15 November 2016 @ 5:27 PM