Hazira Ahmad Zaidi


Kota Bharu: Tengku Mahkota Kelantan, Dr Tengku Muhammad Fa-iz Petra bersama isteri Cik Puan Sofie Louise Johansson berkenan memberikan sumbangan peribadi sebanyak RM1,000 kepada 12 keluarga mangsa kebakaran di Jalan Sultanah Zainab, di sini, hari ini.

Pasangan Diraja berkenaan tiba di perkarangan Masjid Pakistan kira-kira jam 5.35 petang dan turut meluangkan masa meninjau tapak lokasi kebakaran yang mengakibatkan 10 rumah dan empat rumah kedai hangus terbakar, malam tadi.

GAMBAR kenangan Erman bersama arwah isteri, Raja Marzuin. FOTO Ihsan Erman Mahrilar.
GAMBAR kenangan Erman bersama arwah isteri, Raja Marzuin. FOTO Ihsan Erman Mahrilar.

Baginda juga bertitah, supaya mangsa kebakaran memaklumkan sebarang keperluan yang diperlukan mereka kepada pihak berwajib sekali gus dapat meringankan beban yang ditanggung.

Sementara itu, seorang mangsa kebakaran, Wan Nur Masara Wan Mustapa, 18, berkata, dia sangat berbesar hati menerima kunjungan pasangan Diraja yang sudi mencemar duli melihat sendiri keadaan rakyat yang ditimpa musibah.

"Saya tidak menyangka dalam sabar berdepan ujian yang dihadapi membolehkan saya bertentang mata dengan Tengku Mahkota Kelantan dan isteri yang turut menyampaikan sumbangan peribadi daripada baginda sendiri.

"Ketika kejadian saya tinggal bersendirian di rumah kerana ibu keluar membeli barang keperluan dan disebabkan terlalu terkejut saya melarikan diri ke tempat yang selamat tanpa sempat mengambil apa-apa dokumen penting, kecuali telefon bimbit.

"Kini saya dan ibu bersama mangsa lain tinggal sementara di sebuah masjid berhampiran dengan lokasi kebakaran," katanya.

Dalam perkembangan sama, Timbalan Yang Dipertua Majlis Agama Islam Kelantan (MAIK) Zulkifle Ab Rahman berkata, setakat ini Masjid Pakistan akan menyediakan penempatan sementara kepada mangsa kebakaran.

"Selepas ini MAIK akan melihat dari semasa ke semasa keperluan mangsa kebakaran dan dalam masa sama, pihak kami juga akan mengambil tindakan selanjutnya bagi membantu mereka yang ditimpa musibah.

"Setakat ini MAIK juga sudah menyalurkan bantuan sebanyak RM2,000 kepada setiap mangsa kebakaran bagi meringankan beban mereka," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 November 2021 @ 7:51 PM