Ahmad Hasbi


Rembau: Polis masih menunggu laporan keputusan ujian kimia bagi mengetahui punca kematian seorang bayi perempuan berusia 24 hari yang ditemui tidak sedarkan diri di rumahnya di Kampung Batu 1, Pedas Tengah, di sini, Sabtu lalu.

Ketua Polis Daerah Rembau, Deputi Superintendan Hazri Mohamad berkata, bedah siasat sudah siap dijalankan, namun laporan keputusannya belum dapat mengenalpasti punca kematian bayi itu.

"Bedah siasat sudah dijalankan di Jabatan Perubatan Forensik Hospital Rembau semalam (kelmarin). Berdasarkan keputusan itu, pasukan perubatan belum dapat mengesahkan punca kematian.

"Pihak polis masih menunggu laporan kimia daripada Jabatan Kimia di Petaling Jaya. Ia mungkin mengambil sedikit masa," katanya kepada Harian Metro, tadi.

Hazri berkata, berdasarkan maklumat daripada doktor yang memberikan bantuan kecemasan kepada bayi itu pada hari kejadian, mangsa dilahirkan dalam keadaan sempurna di hospital sama.

"Hasil temubual awal bersama doktor yang memberikan rawatan kecemasan, dia memaklumkan bayi itu ketika dilahirkan berada dalam keadaan sempurna namun berdasarkan wajahnya menunjukkan tanda 'down sindrom'.

"Sepatutnya pemeriksaan susulan akan dilakukan apabila bayi itu berusia 30 hari," katanya.

Media pada 5 Mac lalu melaporkan bayi perempuan ditemui tidak sedarkan diri ketika tidur di rumah keluarganya di Kampung Batu 1 sebelum disahkan meninggal dunia di Hospital Rembau.

Bagaimanapun, dalam kejadian pada 1 tengah hari itu, polis belum dapat mengesahkan punca kematian bayi berkenaan memandangkan bedah siasat belum dilakukan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 7 Mac 2022 @ 4:21 PM