DATUK Ayob Khan Mydin Pitchay (tengah) pada sidang media khas pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik di Bukit Aman. FOTO Aswadi Alias
DATUK Ayob Khan Mydin Pitchay (tengah) pada sidang media khas pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik di Bukit Aman. FOTO Aswadi Alias
Nurul Hidayah Bahaudin


Kuala Lumpur: Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan memantapkan kerjasama dengan Majlis Belia Felda Malaysia, Jabatan Pembangunan Komuniti Felda serta Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) dalam usaha menangani masalah penagihan dadah di kawasan Felda di seluruh negara.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, selepas pelaksanaan Op Tapis Khas 1 dan Op Tapis Khas 2 yang dijalankan sebelum ini memberi persepsi mengelirukan serta kurang tepat apabila mendakwa kawasan Felda adalah lubuk penagihan dadah.

"Dalam operasi yang dijalankan itu, kami menumpukan kawasan tertentu di Felda. Kini, kami mahu menumpukan pendekatan dari segi rawatan dan pemulihan penagih dadah menerusi kolaborasi dengan Majlis Belia Felda Malaysia, Jabatan Pembangunan Komuniti Felda serta AADK.

"Dengan kolaborasi yang ditambah baik ini, kami akan dapat 'cover' lebih banyak kawasan Felda oleh tiga agensi ini bersama PDRM melalui data penagih dadah yang diperoleh daripada pihak Felda untuk tindakan lanjut bagi rawatan dan pemulihan penagih," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, di sini, hari ini.

Ayob Khan berkata, aspek rawatan dan pemulihan yang akan dilaksanakan dalam waktu terdekat akan melihat kategori penagih dadah sama ada ditahan atau diserahkan kepada AADK.

"Selain itu, kami juga akan menjalankan program penerangan di peringkat sekolah rendah dan menengah bagi menghampiri golongan belia dan remaja di semua 317 kawasan Felda supaya mereka menolak dadah.

"Saya mahu menegaskan sekali lagi bahawa isu dadah di kawasan Felda ini memerlukan kerjasama semua pihak terutama ahli keluarga yang juga aspek pertama dalam mengesan kelainan tingkah laku yang menjurus kepada najis dadah.

"JSJN akan memberi sepenuhnya komitmen untuk meneruskan operasi dalam usaha mengatasi isu dadah kerana misi utama kita adalah membanteras kegiatan penyeludupan, pengedaran serta pemprosesan dadah," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 3 Mac 2022 @ 4:40 PM