GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
Abnor Hamizam Abd Manap


Jempol: Kawasan tanah rancangan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) yang terletak di pedalaman antara faktor penagihan dadah dan pengedaran dadah sukar dibendung serta kian parah.

Malah kawasan Felda membabitkan kediaman berkelompok turut menjadi faktor peningkatan kes penagihan dadah berbanding kawasan kampung tradisional.

Selain itu, pengaruh rakan turut menjadi faktor masalah sosial itu semakin membimbangkan dan perlu ditangani segera.

Ketua Peneroka Felda Wilayah Raja Alias, Datuk Zainal Abidin Ahmad berkata, sikap ahli keluarga yang tidak memantau pergaulan anak-anak turut menjadi punca generasi baharu Felda terdedah kepada bahana dadah.

"Keluarga turut memainkan peranan penting termasuk perlu mengambil tahu aktiviti dilakukan anak-anak mereka.

"Malah ada juga keluarga peneroka yang ambil sikap 'lepas tangan' walaupun menyedari anak mereka terbabit dengan gejala dadah," katanya hari ini.

Pendapat beliau senada dengan kenyataan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay semalam, yang mengakui tanah rancangan Felda menjadi lubuk urusan jual beli dadah kepada penagih.

Beliau turut mengakui kawasan Felda yang terlampau luas dan terletak di pedalaman memudahkan pengedar membuka laluan tikus untuk menyeludup masuk bekalan dadah ke dalam tanah rancangan berkenaan serta membekalkannya ke kampung-kampung berdekatan.

Zainal Abidin berkata, ada juga ahli keluarga yang enggan percaya anak mereka terbabit penagihan dadah dan tidak bersetuju dengan tindakan diambil pihak polis atau Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK).

"Bagaimanapun situasi itu dilihat sudah berubah kerana ada ahli keluarga yang mahu anak mereka ditangkap sebaik mengetahui terbabit dengan dadah.

"Kes berulang penagih dadah pula bukan disebabkan oleh faktor ahli keluarga sebaliknya sikap individu itu sendiri. Saya secara peribadi berpendapat hukuman lebih tegas perlu dilaksanakan seperti hukuman penjara dan buang daerah lebih lama.

"Hukuman buang daerah secara tidak langsung membolehkan penagih diawasi polis dan sekiranya melanggar hukuman dikenakan, mereka boleh dikenakan hukuman lebih berat," katanya.

Menjelas lanjut, Zainal Abidin turut memberi cadangan kepada pengurusan Felda supaya bangunan terbiar di tanah rancangan dijadikan pusat pemulihan dadah dengan tidak hanya mengharapkan usaha AADK.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 21 Februari 2022 @ 4:27 PM