MUHAMMAD Farish Daniel (tiga dari kiri) yang  menghidap pra leukemia bersama ahli keluarnya. FOTO Halimaton Saadiah Sulaiman
MUHAMMAD Farish Daniel (tiga dari kiri) yang menghidap pra leukemia bersama ahli keluarnya. FOTO Halimaton Saadiah Sulaiman
Saadiah Ismail

Rawang: Suami isteri memohon sumbangan orang ramai untuk membantu membiayai kos rawatan pembedahan pemindahan tulang sum-sum anak lelaki mereka, Muhammad Farish Daniel Fazely, 14, yang disahkan menghidap penyakit pra leukemia.

Pembedahan yang dijangka dilakukan pada Hari Raya keempat di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) itu menelan belanja RM70,000 dan ia di luar kemampuan keluarga berkenaan.

Ibu Muhammad Farish Daniel, Irni Nadia Mashadi, 32, berkata, kekangan pendapatan suami, Fazely Faizair, 35, yang bekerja sebagai pemandu menjadikan agak sukar untuk mengumpul sejumlah wang dalam masa terdekat ini.

Katanya, penyakit anaknya mula disedari pada Mac lalu apabila remaja berkenaan mengalami demam berpanjangan, kerap penat, lemah dan mudah terkena jangkitan.

Remaja itu kemudian dirujuk di Hospital Selayang.

“Namun keputusannya masih tidak diperoleh selepas melakukan pelbagai ujian darah dan sebagainya. Keadaannya masih berterusan sama sebelum kami merujuk anak ke PPUM.

“Doktor yang melakukan ujian melalui sampel tulang belakang mengesahkan anak menghidap pra leukemia. Saya agak terkejut kerana ia sangat drastik, walhal Farish aktif seperti remaja lain.

“Sejak itu, dia tidak ke sekolah hingga kini kerana antibodinya tidak kuat, mudah letih dan ada ketika sakit di bahagian perut malah wajahnya juga ada \kalanya pucat lesu selain kekuningan,” katanya selepas menerima kunjungan Pengerusi Yayasan Jamin, Datuk Sohaimi Shahadan di rumahnya di Kuang, semalam.

Pada kunjungan itu, Yayasan Jamin memberi sumbangan RM5,000 serta melancarkan Tabung Prihatin #SelamatkanAdikMuhammadFarish bagi mengutip dana membantu membiayai pembedahan Muhammad Farish Daniel dalam tempoh kurang tiga minggu lagi.

Muhammad Farish Daniel akan menerima sumbangan tulang sum-sum daripada adiknya, Muhammad Firhad Danish, 13, yang mana selepas ujian dilakukan didapati selnya sepadan dengan abangnya.

Menurut Irni Nadia, dia bersyukur kerana cepat mendapatkan rawatan untuk anaknya sebelum ia benar-benar berubah kepada leukimia kerana risikonya lebih tinggi.

“Justeru, doktor menasihati kami untuk melakukan pembedahan secepat mungkin, jika ditangguhkan, mungkin jangka masa hidup anak saya hanya dua tahun saja.

“Kami mohon bantuan orang ramai untuk membantu menyelamatkan nyawa anak kami,” katanya yang dikurniakan empat anak.

Sumbangan boleh disalurkan ke akaun CIMB 7013818634 atas nama Fazely Faizair.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 3 Jun 2018 @ 7:22 AM