DATUK Seri Aminuddin Harun pada sidang media di Seremban hari ini. FOTO Mohd Amin Jalil
DATUK Seri Aminuddin Harun pada sidang media di Seremban hari ini. FOTO Mohd Amin Jalil
Mohd Amin Jalil


Seremban: Seramai 3,442 individu kalangan petugas barisan hadapan di Negeri Sembilan sudah menerima dos penggalak setakat ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, janji temu bagi penerimaan dos berkenaan kepada golongan berusia 60 tahun ke atas akan bermula esok.

"Dos penggalak ini adalah program antara Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dengan Jabatan Kesihatan Negeri Sembilan (JKNNS).

"Kerajaan negeri menggalakkan ahli majlis mesyuarat kerajaan negeri (Exco) dan wakil rakyat mengambil dos penggalak kerana mereka sering bersua orang ramai.

"Langkah itu akan dapat memastikan keselamatan mereka daripada dijangkiti wabak Covid-19 sekali gus memberi lebih semangat untuk melaksanakan tugas harian," katanya selepas mempengerusikan mesyuarat mingguan Exco di Wisma Negeri di sini, semalam.

Mengenai situasi Covid-19 di negeri itu, Aminuddin berkata setakat ini keadaan terkawal di mana penggunaan katil pesakit berkenaan di Unit Rawatan Rapi (ICU) hospital awam berada pada paras 57.3 peratus, manakala penggunaan alat pernafasan juga terus menurun kepada 32.5 peratus.

"Dari segi vaksinasi pula, setakat ini penduduk dewasa di Negeri Sembilan yang sudah menerima vaksin mencapai 100.9 peratus," katanya.

Beliau turut menasihati individu yang masih enggan menerima vaksin supaya memikirkan semula keputusan itu.

Menurutnya, pihaknya ada menerima aduan mengenai kesukaran dan halangan dihadapi golongan anti vaksin ini dalam urusan kehidupan harian.

"Mereka yang tidak ambil vaksin ini akan menghadapi masalah dan urusan harian akan terganggu, sukar untuk bergerak seperti untuk memasuki restoran dan premis perniagaan, malah untuk berada dalam masjid atau surau juga tidak dibenarkan.

"Cara terbaik adalah dengan menerima vaksin kerana ini sudah menjadi satu norma baharu dalam kehidupan ketika ini.

"Saya berharap mereka yang tak mahu vaksin ini supaya berfikir semula kerana majoriti rakyat sudah ambil vaksin," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 Oktober 2021 @ 4:45 PM