GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
BERNAMA

Shah Alam: Ketetapan baharu solat Jumaat di Selangor yang diperkenan Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah dibuat selepas mendapat nasihat dan pandangan daripada Pengarah Kesihatan Negeri Datuk Dr Sha'ari Ngadiman.

Menerusi hantaran di Facebook Selangor Royal Office, Istana Alam Shah memaklumkan ketetapan baharu dilakukan berpandukan statistik dan data terkini mengenai penularan wabak Covid-19.

Sultan Sharafuddin menerusi hantaran itu menyeru jemaah terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan oleh pentadbir masjid dan surau.

"Baginda juga mahu setiap jemaah telah menerima suntikan dua dos vaksin dan juga dos penggalak Covid-19," menurut kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu, setiap keputusan diambil, baginda sentiasa memikirkan keselamatan nyawa rakyat di Selangor kerana mengikut statistik semasa, jumlah kematian akibat Covid-19 di negeri itu sahaja melebihi 10,000 orang.

Selasa lalu, Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) membenarkan penggunaan sepenuhnya ruang solat utama dan ruang limpah di semua masjid dan surau, yang mendapat kebenaran Solat Jumaat di negeri itu bagi menunaikan solat Jumaat berikutan perkenan Sultan Selangor, berkuat kuasa esok.

Sultan Selangor turut berkenan bagi jarak antara satu jemaah dengan jemaah yang lain ditetapkan dengan jarak 1.0 meter.

Ketetapan baharu itu juga akan memberi kesan peningkatan kapasiti bilangan jemaah di seluruh negeri sehingga 35 peratus tertakluk kepada kapasiti sesebuah masjid dan surau.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 January 2022 @ 4:45 PM