SULAIMAN. FOTO arkib NSTP
SULAIMAN. FOTO arkib NSTP
BERNAMA

Melaka: Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka hari ini sebulat suara meluluskan Rang Undang-Undang Perlembagaan Negeri Melaka (Pindaan) 2022 bagi menurunkan kelayakan umur daripada 21 kepada 18 tahun untuk seseorang individu layak menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun).

Pindaan rang undang-undang itu dicadangkan berikutan Parlimen meminda Seksyen 5 Jadual ke-8 Perlembagaan Persekutuan, berkuat kuasa 11 September 2019, yang menurunkan had umur layak bertanding daripada 21 ke 18 tahun bagi calon Ahli Dewan Rakyat.

Pindaan rang undang-undang itu dibentangkan Ketua Menteri Datuk Seri Sulaiman Md Ali dan dibahaskan beberapa Adun sebelum diluluskan selepas bacaan kali ketiga.

Terdahulu semasa sesi perbahasan, Datuk Khaidhirah Abu Zahar (BN-Rim) berkata pindaan had umur berkenaan adalah satu penghargaan kepada pembabitan dan peranan orang muda dalam politik negara.

"BN (Barisan Nasional) sentiasa konsisten menyokong dalam isu penurunan had umur mengundi ini. Mereka sudah cukup dewasa dan matang untuk membuat keputusan dan seiring zaman kini, mereka sudah cukup matang malah mampu terbabit dalam proses membuat dasar," katanya.

Sementara itu Kerk Chee Yee (DAP-Ayer Keroh) berkata, walaupun ada pihak tidak bersetuju dengan pindaan itu berikutan persepsi kematangan orang muda yang masih belum mencapai tahap sepatutnya, namun ia membantu menyuburkan demokrasi negara.

"Itu (umur) bukan soalnya tetapi ini lebih kepada soal keadilan. Adakah kita bersedia membabitkan anak muda dalam proses pilihan raya?

"Jadi ini langkah pertama dalam memberi ruang kepada mereka dalam politik malah pilihan raya. Ini juga sebagai satu proses untuk mereka faham mengenai demokrasi," katanya.

Rang undang-undang berkenaan diluluskan dengan sokongan majoriti 25 Adun manakala tiga Adun tidak hadir.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 2 Mac 2022 @ 4:26 PM